TAWAU: Seorang remaja lelaki maut setelah motosikal yang ditunggang terperosok di bawah bas sekolah dalam kemalangan di Batu 3, Jalan Tawau- Kalabakan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1.45 petang itu, penunggang motosikal yang berusia 19 tahun itu disahkan maut di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecedraan parah di bahagian kepala dan badan.
Berdasarkan siasatan polis, pemandu bas sekolah yang berusia 37 tahun dari arah Kampung Kapilit menuju ke Kalabakan dan apabila melalui jalan berselekoh, bas dipandu bertembung dengan penunggang motosikal yang datang ada dari arah bertentangan.
“Siasatan lanjut mendapati, masa kemalangan suspek memandu bas di bawah pengaruh dadah.
“Suspek telah ditangkap untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini untuk tampil ke Pejabat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membantu siasatan. – UTUSAN