pelupusan haram: JAS kerjasama JKDM sekat kemasukan sisa buangan

pelupusan haram: JAS kerjasama JKDM sekat kemasukan sisa buangan

WAN ABDUL LATIFF WAN JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mempertingkatkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras lambakan kewujudan kilang pelupusan sisa haram di negara ini.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, buat masa ini, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terutama dalam menapis kemasukan sisa buangan berjadual yang masuk secara haram ke negara ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapati, ada sisa buangan berjadual itu masuk ke negara ini secara haram dengan ikrar palsu sebelum masuk ke kilang haram seperti yang disyaki berlaku di Teluk Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.

“Jika sisa buangan itu dapat dikesan dari awal, kita akan arahkan untuk dihantar balik ke negara asal. Itu prosedur yang kami buat selama ini. Tapi yang terlepas akibat ikrar palsu kemudiannya masuk ke kilang pelupusan haram.

“Kita sedang mempertingkatkan kerjasama dengan JKDM, pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk kerajaan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memeriksa kilang pelupusan haram ini,” katanya pada sesi interaktif Ketua Pengarah Alam Sekitar Bersama Media berhubung pindaan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 dan EIA, di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sejak 10 tahun lalu, kira-kira 40,000 penduduk di Teluk Gong terpaksa menghidu bau busuk, tidak kira siang atau malam setiap hari berikutan wujud puluhan kilang pelupusan sisa pepejal dipercayai beroperasi secara haram yang turut menyebabkan air sungai di sekelilingnya kotor dan berwarna hitam legam.

Mengulas lanjut isu kilang pelupusan haram baru-baru ini, Wan Abdul Latiff berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan untuk dibawa ke mahkamah.

“Berhubung kes di Telok Gong itu, kami dimaklumkan kononnya 23 kilang disebut sebagai kilang haram beroperasi di kawasan itu. Namun, siasatan mendapati hanya tiga buah sahaja beroperasi secara haram.

“Bagi kilang haram itu, kami sudah mohon agensi berkaitan untuk ambil tindakan mengikut bidang kuasa dan peruntukan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya