IPOH: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pelepasan air dari Empangan Chenderoh di Kuala Kangsar dilakukan secara terkawal.
Dalam satu kenyataan di Facebook, TNB berkata, pihaknya sedia maklum mesej yang sedang tular mengenai pelepasan air dari empangan berkenaan dan kenaikan paras air Sungai Perak.
Menurutnya, pelepasan air terkawal perlu dilakukan bagi mengimbangi kadar kemasukan dan pelepasan air ekoran kenaikan paras air berikutan hujan yang berterusan di kawasan tadahan yang luas.
“TNB bekerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan proses pelepasan air secara terkawal dan terancang dapat dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan orang ramai.
“Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak lengkap yang boleh menimbulkan kegusaran di kalangan orang awam,” kata kenyataan tersebut.
Pertanyaan atau maklumat lanjut boleh menghubungi TNB dengan mengirim mesej di Facebook TNB CareLine atau aplikasi X @Tenaga_Nasional. – UTUSAN