Apabila ada seorang pelakon ini mula ‘berbunyi’ di belakang tabir gara-gara mendapat tahu ada pihak mendedahkan mengenai harga perkhidmatan kerja seninya kepada umum, Cik Bunga sedikit pun tak menyalahkan dirinya yang kecewa perkara itu berlaku.
Bagi Cik Bunga, apa yang dirasakannya itu betul. Kalau soal harga bayaran membabitkan perkhidmatan seni, tak kiralah dalam soal lakonankah, menyanyikah, atau untuk ‘job’ rebiu atau bergelar duta, bukankah perkara itu bersifat ‘private and confidentials’ (P&C)?
Ibarat macam gaji jugalah, setiap syarikat harus merahsiakan gaji yang dibayar kepada setiap kakitangan kerana setiap pekerja tidak dibayar pada harga yang sama dan ia mengikut kepada pengalaman, pendidikan dan beberapa perkara berkaitan yang diambil kira.
Samalah juga dengan dunia artis pun. Harga setiap artis tidak sama berdasarkan ilmu kerja seni, populariti dan pengalaman seseorang itu mungkin.
Justeru, apabila ada pula pihak dalaman sesebuah syarikat tak kisahlah stesen televisyenkah atau mana-mana pihaklah yang sewenang-wenang mencanang ‘harga’ artis itu kepada umum, bagi Cik Bunga tak patut.
Wajarlah dia berang sebab ada banyak kesan buruk boleh berlaku. Sudahlah dalam dunia seni hiburan ini persaingan sentiasa sengit. Buatnya ada pihak atau artis lain cuba caras ‘job’ si artis berkenaan? Bukan tak pernah berlaku, sentiasa sahaja berlaku dalam industri seni ini.
Cik Bunga cakap ini bukan merujuk kepada apa yang terjadi kepada si artis itu semata, tetapi ini sebagai satu contoh situasi. Orang industri kita ini kena bersikap profesionallah apabila membabitkan perkara-perkara P&C ini.
Mahalkah, harga berpatutankah, harga tak masuk akalkah, semua itu usah mudah dicanang. Kita faham, masing-masing nak cari makan. Kalau artis itu letak harga tinggi,mesti ada sebab relevan.
Apa yang penting, kita wajar hentikan budaya canang harga artis ini, takut nanti ada yang saling ‘berbunuhan’ pula.