KUALA LUMPUR: “Nak menang Oscar? Kerja keras, buktikan kami salah. Jangan asal boleh saja.”
Demikian kata pelakon senior Fauziah Datuk Ahmad Daud yang menitipkan nasihat kepada pelakon baharu yang menyimpan angan-angan untuk merangkul anugerah antarabangsa, Oscar.
Fauziah atau lebih mesra disapa, Ogy, 61, berkata, tidak salah untuk seorang penggiat seni menyimpan angan-angan yang tinggi, tetapi harus terus belajar untuk menggali bakat yang ada.
“Impian itu percuma. Tapi kena belajarlah. Jangan asyik fikir tentang rupa mahupun dialog sahaja. Lakonan ini terletak daripada hujung rambut sampai hujung kaki. Yang penting, rasa.
“Bagus sebenarnya untuk berfikiran jauh. Tetapi pada saya jauh lagi perjalanan dia. Apa yang saya lihat hanyalah acuan.
“Kalau saya cakap lebih-lebih pun dia mungkin tidak faham. Ramai yang hanya melontarkan dan tidak memasuki watak yang dijayakan,” katanya.
Tambah Ogy, dia berpendapat pelakon tersebut masih perlu mengasah banyak perkara lagi dalam bidang lakonan sebelum mencapai ke tahap global.
“Banyak lagi yang perlu dia belajar. Selongkar balik karakter yang ingin dijayakan. Minda dia berfikir, jiwa merasa, pernafasan, pergerakan dan bahasa tubuhnya bagaimana mahu lakukan itu. Jadi banyak perkara perlu difikirkan,” jelasnya.
Pernah beberapa kali merangkul gelaran Pelakon Wanita Terbaik, Ogy turut menyatakan untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa memerlukan masa dan usaha yang sangat lama.
Tegas Ogy, pelakon itu perlu mengambil tahu lebih mendalam mengenai industri lakonan dan tidak hanya bercakap kosong sebelum meraih anugerah tersebut.
“Ingat satu, pelakon Leonardo Dicaprio mengambil masa berpuluh tahun untuk rangkul Oscar pertamanya. Begitu juga dengan Tan Sri Michelle Yeoh.
“Jadi, mempunyai impian itu sangat bagus, saya mengalu-alukan. Tapi lakukan sesuatu, jangan hanya berkata-kata kosong.
“Mula ambil tahu di dalam bidang seni lakonan ini. Kemudian baru awak akan menghargai kraf ini,” katanya.
Sebelum ini, seorang pelakon baharu berkongsi angan-angannya untuk merangkul anugerah Oscar sekaligus mengundang pelbagai respons daripada artis-artis yang lebih senior. -UTUSAN