KUBANG PASU: Seorang pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis setelah mendakwa dirinya ditipu seorang pelajar sebuah universiti bermodalkan simpati kononnya tidak dapat membayar yuran pengajian sebanyak RM5,000.
Pengasas Cancer Survivor Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada pukul 6.15 petang, semalam setelah mendapat nasihat pelbagai pihak termasuk beberapa NGO yang pernah diperdayanya sebelum ini.
Katanya, dia mula dihubungi pelajar lelaki itu kira-kira pukul 1.30 petang, kelmarin yang meminta bantuan kewangan dengan alasan perlu membayar yuran tertunggak kerana bapanya orang kurang upaya (OKU) dan ibunya yang berniaga kecil-kecilan kehabisan duit setelah adiknya baru masuk ke universiti.
“Pada mulanya saya mengajak pelajar itu berjumpa namun dia memberi pelbagai alasan termasuk kononnya tiada kenderaan. Malah apabila saya meminta rakan untuk bertemunya di universiti pun, dia masih mengelak kononnya ada urusan yang tidak dapat dielakkan.
“Kemudian dia telefon saya dan menangis minta dibantu kerana kononnya akan dihalau dari asrama. Atas dasar simpati, saya memuat naik status di Facebook dengan turut memaparkan nombor akaunnya bagi memudahkan rakan-rakan membantu.
“Tidak lama kemudian, seorang pegawai JKM hubungi saya menyatakan pelajar ini pernah tular dulu kerana menipu. Saya juga dihubungi NGO dari Pulau Pinang yang memberitahu perkara sama dan seorang kakitangan universiti yang memaklumkan pelajar itu tidak perlu dibantu,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, dalam tempoh sejam selepas memuat naik status Facebook itu, pelajar tersebut mengaku telah menerima wang sumbangan berjumlah lebih RM1,700.
“Saya hubungi dia semula dan persoal tindakannya selain meminta wang itu dikembalikan. Saya juga memadam status awal dan memuat naik hantaran baharu supaya orang ramai berhenti menyumbang kepadanya. Rupa-rupanya, wajahnya pernah terpampang di laman web media berbahasa Cina dan dia pernah memohon maaf secara terbuka melalui satu klip video pada April lalu,” katanya.
Sementara itu, wakil Pertubuhan Kebajikan Seberang Perai Tengah, Eng Hiap Boon mendakwa, pelajar itu sebelum ini pernah membuat pengakuan dan meminta maaf di atas ketelanjurannya setelah perkara itu didedahkan akhbar berbahasa Cina.
Katanya, pelajar itu juga sebelum ini sangat licik kerana mengugut kononnya akan membunuh diri sekiranya perkara itu diadukan kepada polis, menyebabkan mangsa berasa kasihan dan tidak tergamak untuk mengambil tindakan.
“Namun setelah meminta maaf, kali ini dia menipu lagi. Untuk maklumkan, jumlah penipuannya sebelum ini melebihi RM100,000 dan di Pulau Pinang saja, dia telah menipu tujuh NGO dan badan kebajikan kuil.
“Mangsanya juga bukan calang-calang kerana ada antaranya orang kenamaan serta mereka yang berada di seluruh negara. Malah, dia turut pernah menipu seorang individu dari Melbourne, Australia sebanyak RM13,000,” katanya.
Eng mendakwa, dia mempunyai bukti terhadap segala bentuk penipuan pelajar tersebut sebelum ini dan berharap kali ini pihak polis akan bertindak tegas dengan menangkap pelajar itu.- UTUSAN