KUALA NERUS: Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Vanoell Richard, 21, berjaya mengharumkan nama negara apabila muncul naib juara dalam pertandingan ASEAN-China-India Youth Leadership Summit (ACIYLS) di Singapura, semalam.
Vanoell berjaya mara ke pusingan akhir dan merangkul tempat kedua dalam pertandingan berprestij itu.
Beliau membawa pulang trofi kemenangan berserta hadiah wang tunai sebanyak SGD5,000.
Program anjuran OSG Youth Alliance dan Resolute itu menarik penyertaan seramai 8,322 peserta pada tahun ini.
Pelajar Sarjana Muda Sains Bioperubatan itu berkata, wang hadiah tersebut akan akan digunakan sebagai modal untuk menjadikan projeknya iaitu pencerna anaerobik mudah alih yang mengubah sisa makanan menjadi elektrik boleh diperbaharui dan baja organik satu realiti.
Menurutmya, program itu bertujuan mengumpulkan idea inovasi baharu golongan belia dari 12 negara iaitu 10 negara ASEAN, China dan India untuk meneroka topik penting seperti pemahaman silang budaya, kelestarian, memperkasakan pemimpin masa depan.
“Matlamat utama program ini adalah untuk menyahut seruan ‘Sustainability Development Goals’ oleh United Nation dan tema yang telah ditekankan tahun ini ialah SDG 7 dan 11,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini
Beliau memberitahu, pada peringkat negara, wakil belia diberi peluang untuk mengemukakan idea masing masing berlandaskan SDG 7 dan 11.
“Dari jumlah itu, hanya 15 orang wakil akan dipilih daripada setiap negara dan saya gembira kerana menjadi wakil tunggal dan dapat melakar sejarah untuk Malaysia,” ujarya. – UTUSAN