KUALA NERUS: Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Vanoell Richard, 21, mengharumkan nama negara apabila muncul naib juara dalam pertandingan ASEAN-China-India Youth Leadership Summit (ACIYLS) di Singapura, kelmarin.
Vanoell mara ke pusingan akhir dan merangkul tempat kedua dalam pertandingan berprestij itu untuk membawa pulang trofi kemenangan berserta hadiah wang tunai sebanyak SGD5,000.
Program anjuran OSG Youth Alliance dan Resolute itu menarik penyertaan seramai 8,322 peserta pada tahun ini.
Pelajar Sarjana Muda Sains Bioperubatan itu berkata, wang hadiah tersebut akan digunakan sebagai modal untuk menjadikan projeknya, iaitu pencerna anaerobik mudah alih yang mengubah sisa makanan menjadi elektrik boleh diperbaharui dan baja organik satu realiti.
“Program itu bertujuan mengumpulkan idea inovasi baharu golongan belia dari 12 negara iaitu 10 negara ASEAN, China dan India untuk meneroka topik penting seperti pemahaman silang budaya, kelestarian, memperkasakan pemimpin masa depan,” katanya semalam. – UTUSAN