Pelajar maut dirempuh SUV sempat hadiahkan kepingan emas untuk ibu - Utusan Malaysia

Pelajar maut dirempuh SUV sempat hadiahkan kepingan emas untuk ibu

JAMALUDIN HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Salah seorang daripada tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun di sini yang maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV, sempat menghadiahkan kepingan emas untuk ibunya, minggu lalu.

Jamaludin Hussin, 53, berkata, anaknya, Khairil Anwar, 20, menghabiskan waktu cuti semesternya selama dua bulan dengan bekerja secara sambilan di kiosk minuman di sebuah pasar raya di Ampang, Selangor.

“Khairil Anwar sempat menghadiahkan kepingan emas untuk ibunya, Norma Mohamed Nor, 52, minggu lalu. Kami agak terkejut dan tak sangka itu pemberian terakhir untuk ibunya.

“Ketika saya dan isteri hantar Khairil Anwar pulang ke kampus pada hujung minggu lalu, dia juga turut membelanjakan wang gajinya untuk membayar bilik penginapan kami dan belanja kami makan, dia jarang membelanjakan wang yang banyak sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jamaludin berkata, anak bongsu daripada lima adik beradik itu juga sempat berkongsi video masakannya kepada ibunya beberapa jam sebelum nahas tersebut.

“Petang kelmarin, Khairil Anwar menghubungi isteri saya menerusi WhatsApp dan dia menghantar video dia memasak nasi goreng. Dia memang pandai dan rajin memasak di kampus untuk berjimat. Kami akan simpan video ini sebagai kenangan,” katanya yang gagal menahan sebak.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan tiga penuntut UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi cedera selepas dua buah motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah SUV jenis Honda CRV yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun, di hadapan kampus mereka.

Selain Khairil Anwar, dua lagi mangsa yang maut ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pula mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Dungun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya