KOTA KINABALU: Kisah pelajar dari pedalaman Sabah yang hampir melupakan hasrat menyambung pengajian di peringkat universiti mendapat perhatian Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Ketika pelajar lain berasa gembira semasa menerima tawaran melanjutkan pengajian, Crisnanalina Jumis, 20, yang berasal dari Kampung Dalamas, Paitan itu hampir berputus asa kerana tidak dapat mendaftar disebabkan masalah kewangan keluarga.
Namun, pelajar dari golongan B40 itu boleh kembali tersenyum apabila pihak UMS menyatakan kesediaan untuk membantu mereka mendaftar masuk ke universiti berkenaan.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, beliau telah mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk berhubung dengan pelajar tersebut bagi memudahkan urusan pendaftaran kemasukan ke universiti.
“UMS amat prihatin terhadap isu kesukaran dari segi kewangan yang dialami oleh Crisnanalina. Justeru kita akan memastikan dia menerima bantuan secukupnya apabila mendaftar ke universiti ini nanti.
“Pihak Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar juga akan memastikan bantuan terhadap keperluannya diberikan semasa berada di kampus. Selain itu, kita juga akan membantu pelajar berkenaan membuat permohonan bantuan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kasim memberi jaminan mana-mana pelajar baharu UMS tidak perlu khuatir tentang pembayaran yuran pendaftaran kerana pihak universiti telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk kemudahan penangguhan yuran pendaftaran.
Langkah itu diambil bagi memastikan pelajar dapat menyelesaikan urusan pendaftaran tanpa perlu bimbang tentang masalah kewangan.
Menurutnya, pihak universititurut menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang boleh dipohon oleh pelajar khususnya yang kurang berkemampuan seperti bantuan kewangan (MyCare), bakul makanan dan sumbangan zakat.
Kata beliau, Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar juga bersedia membantu pelajar untuk membuat permohonan bantuan kewangan pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta permohonan biasiswa seperti Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Sabah dan Biasiswa MARA.
Semalam media melaporkan gadis berasal dari Paitan berhadapan kekangan kewangan untuk mendaftar di UMS sehingga memaksa ibu saudaranya melancarkan kutipan dana untuk membantu pelajar berkenaan membayar yuran pendaftaran.
Anak sulung daripada lima beradik itu cuba memohon bantuan one-off daripada laman web kerajaan negeri namun, masalah rangkaian internet yang dihadapi di kampung yang berada jauh di pedalaman itu menyukarkan dia meneruskan proses permohonan secara atas talian. – UTUSAN