Pelajar cedera dirempuh SUV dipandu wanita dibenar keluar hospital - Utusan Malaysia

Pelajar cedera dirempuh SUV dipandu wanita dibenar keluar hospital

MALIAMAN Kassim (kiri) melihat kesan kecederaan yang dialami Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan dalam kemalangan meragut nyawa tiga rakannya di Hospital Dungun, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun yang terselamat dalam insiden dua motosikal dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV hingga menyebabkan tiga rakannya maut, dibenarkan keluar dari Hospital Dungun, di sini, tengah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dibenarkan pulang selepas lima hari dirawat di hospital itu sejak Rabu lepas.

“Alhamdulillah, kita lihat keadaan kesihatan Muhammad Ammar Danish semakin baik dan trauma yang dialaminya beransur pulih.

“Muhammad Ammar Danish akan dihantar pulang ke kediamannya di Keramat, Kuala Lumpur menggunakan ambulans UiTM bersama keluarganya,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun di sini, hari ini.

Maliaman berkata, bagaimanapun pihak kesihatan dan UiTM akan terus memberi rawatan susulan dan khidmat kaunseling bagi memastikan penuntut itu benar-benar pulih.

“Proses rawatan dan kaunseling akan berjalan terus supaya dia tidak rasa sedih dan tertekan atas apa yang berlaku kerana peristiwa itu memberi impak yang besar kepada Muhammad Ammar Danish yang kehilangan tiga rakan baik serentak.

“Jadi, khidmat sokongan dan emosi akan terus diberikan kepada Muhammad Ammar Danish,” katanya.

Pada lawatan itu, Muhammad Ammar Danish dilihat semakin ceria dan turut berkongsi mengenai kejadian itu kepada Maliaman.

Beberapa anggota badannya juga dilihat mengalami kecederaan dan luka termasuk di tangan kiri, muka dan kaki.

Dalam kejadian pada pukul 7.35 malam, Rabu, tiga rakannya yang maut ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya