Pelaburan Oracle serlah potensi Malaysia pintu masuk infrastruktur awam

Pelaburan Oracle serlah potensi Malaysia pintu masuk infrastruktur awam

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman gergasi teknologi, Oracle untuk membuka pusat awam pertamanya di negara dengan pelaburan AS$6.5 bilion (RM27 bilion) mencerminkan keyakinan dan komitmen syarikat dunia terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk infrastruktur awam.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan syarikat dunia teknologi melabur di Malaysia juga menyokong pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI) serantau.

“Kejelasan dasar dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan Kerajaan Madani telah berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan terkini Oracle.

“Keseluruhan projek yang diumumkan oleh syarikat-syarikat ini sehingga kini melibatkan pelaburan keseluruhan yang dianggarkan bernilai AS$16.9 bilion (RM70.3 bilion),” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, amat penting bagi tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan-pelaburan tersebut.

“Dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat-syarikat tersebut, saya tekankan kepentingan perluasan manfaat jangka panjang kepada Malaysia, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti AI dan pemerkasaan  kumpulan masyarakat.

“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi Madani akan dapat dicapai, Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Oracle mengumumkan pihaknya merancang untuk melabur lebih RM27 bilion bagi mewujudkan wilayah awan awam di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan awannya.

Dalam kenyataan hari ini, Oracle menjelaskan wilayah awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada “Oracle Cloud Infrastructure” (OCI).

Naib Presiden Eksekutif Oracle, Garrett Ilg berkata, Malaysia menawarkan peluang pertumbuhan unik untuk organisasi yang ingin mempercepat pengembangan masing-masing dengan teknologi digital terkini.

“Pelaburan berbilion dolar kami mengesahkan komitmen Oracle kepada Malaysia sebagai pintu masuk serantau untuk infrastruktur awan serta set lengkap penggunaan SaaS (perisian sebagai satu perkhidmatan) yang digunakan di Malaysia,” katanya.

Menurut Oracle, wilayah awan yang dirancang akan membantu organisasi di Malaysia memodenkan penggunaan mereka, memindahkan semua jenis beban kerja kepada awan, dan berinovasi dengan data, analitik dan AI.

Pelanggan boleh mempunyai akses kepada, antara lain “OCI Generative AI Agents” Oracle dengan keupayaan penjanaan tambahan dapatan semula (RAG) serta perkhidmatan pengkomputeran dipercepat dan AI generatif untuk membantu mengekalkan model AI berdaulat dalam sempadan negara.

“Selain itu, lebih 150 perkhidmatan termasuk “Oracle Autonomous Database” dan “Oracle Cloud VMware Solution” juga akan tersedia, menawarkan perkhidmatan infrastruktur, platform atau SaaS kepada pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya