KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pembersihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan salah guna harta, tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh Muhammad Afique Ab Mahat, 34, didakwa menyalahgunakan 25 keping kepingan emas seberat 2,500 gram bernilai RM 805,175 milik bekas abang iparnya, Nik Johanis Nik Hussin, 46, dengan cara menjual kepingan emas tersebut kepada Abdul Razak Gold House (M) Sdn. Bhd.
Kepingan-kepingan emas itu dijual dengan nilai RM 737,500 tanpa pengetahuan dan kebenaran mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Syarikat Abdul Razak Gold House (M) Sdn. Bhd., Bangunan Abdul Razak di sini pada 18 November 2023.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raihana Razak mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.
Walau bagaimanapun, peguam bela, Harjinder Singh Sandhu yang mewakili tertuduh merayu agar ikat jamin ditetapkan sebanyak RM20,000 atas alasan anak guamnya sedang dalam proses menyelesaikan kes dengan bekas isterinya di Mahkamah Syariah.
“Tertuduh dan bekas isterinya sedang bergelut di Mahkamah Syariah berkaitan kes hadanah anak beliau. Jika tertuduh diikat jamin yang tinggi, saya percaya beliau akan hilang hak penjagaan anaknya.
“Difahamkan, tertuduh bekerja dengan keluarganya dalam bidang pembersihan tangki minyak dengan hanya memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan,” kata Harjinder.
Hakim Azrul Darus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 12 November ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN