Pekerja kedai makan cedera ditetak sekumpulan lelaki bertopeng

Pekerja kedai makan cedera ditetak sekumpulan lelaki bertopeng

TANGKAP layar video yang tular membabitkan seorang pekerja kedai makan cedera ditetak lelaki bertopeng bersenjatakan parang di Sempalit dekat Raub tengah malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Seorang pekerja kedai makan cedera ditetak sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di sebuah premis perniagaan di Sempalit dekat sini tengah malam semalam. 

Menerusi kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.00 tengah malam ketika mangsa berumur 28 tahun sedang mengemas kedai. 

Rakaman video berdurasi 59 saat yang tular itu menunjukkan pekerja terbabit tiba-tiba diserang sekumpulan enam lelaki  yang keluar dari sebuah kereta yang diparkir di hadapan kedai. 

Mangsa kemudiannya dilihat bertindak melarikan diri ke dalam kedai sebelum diserang kumpulan lelaki terbabit yang bersenjatakan parang. 

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril  Abdul Rahman berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka sepanjang enam inci di lengan kanan dan telah menerima rawatan di Hospital Raub. 

Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis kini giat mengesan  kesemua suspek. 

“Hasil soal siasat pada mangsa menyatakan dia tiada musuh, tidak mengenali suspek serta tidak tahu motif serangan berkenaan. 

“Selain itu kita juga akan menjalankan siasatan terhadap pemilik kedai makan terbabit bagi mengenal pasti motif serangan.” ujarnya. 

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi IPD Raub di talian 093552222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN