KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kebun sawit kerugian RM55,000 apabila dia dan enam orang anaknya membayar deposit kepada ‘ejen’ perumahan mampu milik, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
Mangsa yang dikenali sebagai Faridah berkata, salah seorang anaknya memperkenalkan kepadanya seorang wanita yang dikatakan ejen PR1MA berpangkalan di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
“Saya dan anak-anak membayar wang pendahuluan sebanyak RM55,000 yang kononnya untuk proses bank, tempahan, utiliti dan fi guaman.
“Individu terbabit mengeluarkan surat tawaran kepada kami, surat kelulusan pinjaman dan surat fi guaman yang tertera kepala surat PR1MA dan disebabkan percaya, kami mula membayar deposit berkenaan pada 2 Mac 2021,” katanya.
Dia berkata demikian ketika sidang akhbar di ibu pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di Jalan Tun Razak, di sini hari ini.
Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, dokumen-dokumen yang telah diisukan itu dipercayai telah dipalsukan untuk memperdaya dan mengaburi pembeli-pembeli rumah tersebut.
“Individu terbabit turut memalsukan dokumen atau surat kelulusan pinjaman daripada bank-bank lain.
“Pengadu-pengadu telah membuat pembayaran kepada ejen wanita tersebut merasa tertipu dan telah kerugian wang ringgit apabila ia terbongkar semasa pengadu pergi melihat rumah yang ‘dibeli’ pada September lalu,” katanya.
Menurutnya, mereka mendapati terdapat individu lain tinggal di sana dan menyatakan dia merupakan tuan rumah tersebut.
“Dia dan anak-anak mendapati kesemua rumah PR1MA yang ditempah di Kulim dan Sungai Petani, Kedah itu sudah dimiliki orang lain dan ada yang sudah membuat renovasi pada rumah.
“Disebabkan keresahan, pengadu kemudian menelefon ibu pejabat PR1MA dan amat terkejut apabila namanya dan anak-anak tidak tersenarai dalam program perumahan terbabit. Mereka telah membuat laporan polis pada 16 Oktober lalu” katanya.
Tambah Hishamuddin, pihaknya akan menjangkakan kes ini bakal tiada tindakan lanjut (NFA) dan rujuk kepada majistret.
“Kalau kes ini diambil tindakan secara sivil, kami tidak merasakan ejen terbabit akan bayar keseluruhan ganti rugi dan diharapkan tindakan akan diambil di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN