Pekerja boleh urus kos sara hidup apabila gaji minimum dinaikkan - FOMCA

Pekerja boleh urus kos sara hidup apabila gaji minimum dinaikkan – FOMCA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari 2025 bakal meningkatkan kesejahteraan kewangan pekerja berpendapatan rendah.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, kenaikan gaji ini bakal memperkasakan pekerja untuk menguruskan kos sara hidup dengan lebih baik selain meningkatkan kuasa beli serta keselamatan kewangan pekerja. 

Menurut beliau, pendapatan tambahan ini juga diharap mampu membantu keluarga memenuhi keperluan asas seperti perumahan, makanan, penjagaan kesihatan dan pendidikan seterusnya meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan tekanan kewangan.

“Kenaikan gaji minimum ini dijangka merangsang penggunaan domestik kerana pekerja akan mempunyai keupayaan untuk berbelanja lebih kepada barangan keperluan. 

“Peningkatan perbelanjaan ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi melalui peningkatan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Saravanan berkata, langkah ini dilihat selari dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan mewujudkan agihan pendapatan lebih adil dalam masyarakat.

Bagaimanapun, FOMCA turut mengingatkan bahawa sokongan kepada perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) amat penting untuk memastikan kelancaran pelaksanaan kenaikan gaji ini. 

“Tanpa bantuan yang mencukupi, ia dikhuatiri perniagaan berisiko menghadapi tekanan kewangan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barang, pemberhentian pekerja atau gangguan operasi.

“Bagi mengurangkan risiko ini, kerajaan boleh menyediakan insentif, rebat dan subsidi gaji yang disasarkan bagi membantu perniagaan, khususnya PKS bagi menghadapi peralihan ini dengan lancar,” katanya.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, kerjasama erat diperlukan antara kerajaan, industri dan kesatuan pekerja dalam memantau kesan kenaikan gaji minimum. 

“Malah, kerajaan disaran untuk meneroka insentif bukan kewangan kepada perniagaan yang mengekalkan atau mengembangkan tenaga kerja selepas pelarasan gaji ini dilaksanakan,” jelasnya.

Tambah beliau, dengan pendekatan yang seimbang, kenaikan gaji ini bukan sahaja dapat mencapai objektifnya, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan, kestabilan pasaran buruh dan kelangsungan perniagaan.

“Kenaikan gaji ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memperkukuh kebajikan sosial dan kestabilan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya