Pegawai SPRM kes penipuan tidak dipanggil beri keterangan bicara kes Guan Eng

Pegawai SPRM kes penipuan tidak dipanggil beri keterangan bicara kes Guan Eng

LIM Guan Eng (berkemeja putih) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes terowong dasar laut Pulau Pinang. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang pegawai penyiasat dalam satu kes penipuan di Shah Alam, tidak dipanggil memberi keterangan pada prosiding mencabar kredibiliti seorang saksi penting pendakwaan dalam perbicaraan kes terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan Lim Guan Eng.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk mengemukakan keterangan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Weng Jun pada prosiding terhadap Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli.

Hakim Azura Alwi ketika memutuskan demikian berpendapat, beliau telah meneliti dan menimbang hujahan lisan dan bertulis yang dikemukakan kedua-dua pihak dan memutuskan untuk menolak permohonan itu.

“Mahkamah berpuas hati, Seksyen 425 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) tidak wajar digunakan oleh pihak pendakwaan pada peringkat ini untuk memanggil saksi tersebut,” kata beliau.

Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan lisan untuk memanggil Weng Jun memberi keterangan kerana namanya disebut beberapa kali oleh Zarul Ahmad pada perbicaraan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, keterangan Weng Jun relevan bagi mengesahkan dakwaan ahli perniagaan itu bahawa beliau (Weng Jun) memintanya mengasingkan keterangan ketika sesi siasatan kes terowong dasar laut.

“Weng Jun perlu dipanggil pada prosiding ini bagi memberi peluang Zarul Ahmad membuktikan keterangannya bahawa beliau diminta mengasingkan keterangannya ketika soal siasat. Keterangan Zarul Ahmad dicabar oleh pihak pembelaan jadi tugas kami untuk menunjukkan beliau berkata benar,” ujar Wan Shaharuddin.

Sementara itu, peguam R.S.N Rayer mewakili Guan Eng membantah permohonan tersebut kerana Weng Jun bukan pegawai penyiasat yang merakam percakapan Zarul Ahmad dalam siasatan kes terhadap seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja.

Mahkamah selanjutnya meneruskan prosiding dengan menyambung keterangan Zarul Ahmad yang juga saksi penting pendakwaan.

Kredibiliti beliau dicabar selepas kenyataan yang diberikannya ketika siasatan kes ahli perniagaan G. Gnanaraja, berbeza dengan kenyataannya dalam kes Guan Eng walhal kedua-dua kes melibatkan siasatan terowong dasar laut Pulau Pinang.

Dalam keterangannya, Zarul Ahmad berkata, beliau yang mengatur pertemuan pertama di antara Guan Eng dan Gnanaraja sekitar Ogos 2017 selepas diminta oleh ahli perniagaan tersebut.

Guan Eng dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek mega itu yang bernilai berbilion ringgit. 

Perbicaraan bersambung 23, 24 dan 25 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya