KOTA BHARU: Seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat kosmetik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel di sini pada tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Ferrul Azieman, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ketika kejadian di sebuah hotel di sini bermula pukul 3.58 pagi hingga 6 pagi pada Ogos tahun lalu.
Muhamad Ferrul didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Nasrul Nazmi Nik Muhammad.
Terdahulu, Kamarul Hasyime mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan.
Nasrul Nazmi memohon jaminan yang rendah kerana anak guamnya berjanji untuk patuh dengan peraturan mahkamah selain tidak akan mengganggu mangsa memandangkan tertuduh tinggal di Gombak, Selangor.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Gombak dua bulan sekali.
Kes disebut semula pada 14 November depan dan tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN