Pegawai bank tidak mengaku dakwaan gangguan seksual rakan sekerja

Pegawai bank tidak mengaku dakwaan gangguan seksual rakan sekerja

ROSMAN Jamaluddin didakwa melakukan gangguan seksual terhadap rakan setugas wanita dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pegawai di sebuah bank terkemuka negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan gangguan seksual terhadap rakan setugas wanita, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Rosman Jamaluddin, 52, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki terbabit didakwa menghantar Whatsapp berbaur lucah kepada wanita berusia 38 itu dengan maksud mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunannya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis bank tersebut di No. 67, Jalan Perajurit Ipoh Garden East di sini pada pukul 10.52 malam pada 20 Mei 2021 dan 12.08 tengah malam 18 Ogos 2021.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam Khairil Azwar Khalil.

Terdahulu, Nurul Hidayu mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh beserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, Khairil Azwar merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi dan ‘slip disc’ selain menanggung seorang isteri, empat anak yang masih belajar dan ibu.

Selain itu, beliau turut meminta mahkamah mengeluarkan perintah menghalang kes tersebut dibicarakan di luar iaitu melalui media sosial sebelum keputusan diputuskan oleh mahkamah.

“Tindakan pihak tertentu yang membicarakan kes tersebut di media sosial menyebabkan tertuduh berdepan buli siber selain terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri sehingga terpaksa diberikan cuti,” ujar beliau.

Majistret S. Punitha kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa.

Mahkamah turut menasihati pihak pendakwaan dan polis untuk memastikan tiada komen-komen yang prejudis terhadap kes tersebut di media sosial.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN