PDRM manfaat insentif Belanjawan 2025 dengan urus tadbir terbaik 

PDRM manfaat insentif Belanjawan 2025 dengan urus tadbir terbaik 

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Segala insentif Belanjawan 2025 yang diumumkan kerajaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan beramanah dan urus tadbir kewangan terbaik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, amanah itu digunakan sebaiknya demi memelihara ketenteraman dan keamanan negara sejajar dengan usaha kerajaan mensejahterakan rakyat serta memakmurkan negara berteraskan ekonomi Madani.

Kata beliau, PDRM kekal komited dengan fokus menyampaikan perkhidmatan berpaksikan integriti dan tata kelola yang baik.

“Serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya di sini.

Mengulas lebih lanjut, Razarudin dan warga PDRM menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan dan insentif ikhtiar yang diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata beliau, PDRM sangat menyambut baik dan menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan-peruntukan berikut yang bakal dinikmati secara langsung oleh seluruh warga polis.

“Antaranya peruntukan lebih  RM2.12 bilion aset khusus untuk PDRM dan badan beruniform di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) demi menjamin keselamatan dalam negeri melalui usaha bersepadu.

“Beberapa pejabat polis baharu akan dibina dengan kos  RM2.1 bilion iaitu Ibu pejabat Polis Kontinjen Pahang, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, Petaling Jaya  dan Balai Polis Tanjung Minyak, Melaka,” jelasnya.

Beliau berkata, PDRM juga akan menerima manfaat RM5 juta bagi membekalkan air bersih secara hibrid menggunakan air hujan dan air bawah tanah susulan kekangan bekalan air di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone), Sabah.

“Lebih RM 1.8 billion disediakan bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan rumah keluarga angkatan tentera,” ujarnya.

Belaiu berkata, bagi memperkasa perlindungan sosial kepada semua penjawat awam, skim ex-gratia bencana kerja akan diperluas dan dipermudah.

Jelas beliau, PDRM juga menerima manfaat ex-gratia operasi RM50,000; ex-gratia pukal RM20,000 dan kadar elaun layanan sentiasa dari RM500 ke RM1,500.

“Sejumlah RM560 juta disediakan untuk memperkasa sempadan negara antaranya untuk membina baharu dan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Bukit Berapit dan Wang Kelian.

“Peruntukan membina dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung, Sabah dan membekalkan badan penguat kuasa dengan teknologi dron dan AI untuk meningkatkan capaian kawasan boleh diawasi,” jelasnya.

Kata beliau, penyumberluaran rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) yang melibatkan pesara kerajaan serta jalinan kerjasama 91 hospital swasta untuk mewujudkan persaingan harga terbaik buat kerajaan.

“Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan menyediakan dana untuk penjawat awam membeli rumah yang dibina di atas tanah wakaf dan memperkenalkan skim pembiayaan perumahan sehingga 40 tahun untuk penjawat awam muda.

“Peruntukan RM20 juta untuk memperhebat peranan pusat respons penipuan kebangsaan.

“Selain Program Apel.Q diperkenal di bawah kendalian INTAN untuk penjawat awam yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan kos pengajian sebanyak 50 peratus atau maksimum RM 15 ribu ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Razarudin berkata, warga PDRM juga menerima manfaat bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam dan RM 250 kepada pesara kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN