Pavilion Negeri dibuka untuk delegasi ASEAN 2025

Pavilion Negeri dibuka untuk delegasi ASEAN 2025

MOHAMAD Sabu dalam sidang akhabar pada Majlis Apresiasi Media MAHA 2024 di Tamu Hotel & Suites, di sini hari ini. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju menjadikan Pavilion Negeri sebagai destinasi utama pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 berikutan kejayaan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan langkah tersebut sebagai usaha strategik untuk mempromosikan potensi negeri-negeri Malaysia di peringkat serantau. 

Menurut beliau, pavilion negeri-negeri yang dibuka pada MAHA 2024 menunjukkan kejayaan luar biasa dalam menarik minat pengunjung dan berpotensi menjadi tarikan bagi delegasi antarabangsa.

“Keputusan Kabinet adalah untuk membuka pavilion negeri semasa sidang ASEAN sebagai sebahagian daripada inisiatif diplomasi ekonomi. 

“Ia bukan sahaja mempromosikan produk-produk tempatan tetapi juga memberikan peluang kepada delegasi ASEAN untuk mengenali lebih dekat potensi setiap negeri di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi sempena MAHA 2024 di Tamu Hotel & Suites, di sini hari ini.

Lebih 5.5 juta pengunjung dilaporkan hadir memeriahkan MAHA 2024 yang melabuhkan tirai pada 22 September lalu, melepasi sasaran awal sebanyak tiga juta pengunjung.

Sebanyak RM48.5 juta nilai jualan langsung dicatatkan, sementara 81 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM7.2 bilion berjaya dimeterai selepas 12 hari bertapak di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pegawai-pegawai kerajaan sedang berunding dengan kerajaan negeri untuk memastikan pavilion tersebut dibuka tepat pada waktunya dan bersedia menerima kunjungan delegasi ASEAN serta sektor-sektor lain yang terlibat dalam sidang berkenaan.

Kata beliau, keputusan Kabinet mengenai pembukaan pavilion itu telah dibuat tiga minggu lalu dan persiapan sedang giat dijalankan. 

“Pavilion negeri-negeri dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan serantau, selain menjadi platform untuk mempromosikan produk pertanian, hortikultur dan industri berkaitan di peringkat antarabangsa.

“MAHA 2026 turut mensasarkan pengunjung antarabangsa dengan sasaran awal seramai tiga juta pengunjung.

“Kita akan meningkatkan fokus kepada pasaran global terutama menerusi MAHA GO Global agar produk keluaran Malaysia dapat terus dipasarkan di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya