PETALING JAYA: Penyanyi, Pasya Mentor, mengakui sukar menyanyikan lagu kumpulan Search sehingga membuatnya kerap jatuh sakit.
Pasya atau Faizul Asyraf Fauzi, 30, bagaimanapun enggan menjadikannya alasan sebaliknya berjanji akan menggalas tanggungjawab sebagai vokalis kumpulan legenda itu sebaiknya.
“Saya banyak tidak sihat sebab bukan senang mahu nyanyikan lagu kumpulan Search. Sepanjang dua bulan menjadi vokalis mereka, saya bersyukur kerana diberikan kepercayaan dan dilayan dengan baik.
“Mereka tidak pernah anggap saya orang luar atau baru, kami seperti sebuah keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Akur dengan persepsi masyarakat yang mungkin membandingkan persembahannya dengan vokalis Search sebelum ini, penyanyi Kemelut itu bagaimanapun sudah berlapang dada untuk menerima setiap kritikan.
“Cabaran pertama menjadi vokalis Search ialah mahu menyanyikan lagu mereka dengan baik. Tapi itu tiada masalah, kerana saya boleh belajar.
“Namun cabaran kedua lebih besar, di mana saya mahu memenangi hati peminat Search. Jika saya bawakan sebaik mana pun persembahan, akan ada yang berkata tidak baik juga,” tambahnya.
Bagaimanapun, Pasya teruja untuk beraksi bersama kumpulan Search buat pertama kalinya di Konsert Rock Warrior Festival, November nanti.
“Search adalah idola saya. Saya berbesar hati dan teruja sebab rupanya mereka menyedari keberadaan saya di dalam industri.
“Saya sebagai pemain industri dan peminat muzik rock semestinya saya mahu tengok Search bertahan lebih lama.
“Mereka tidak pernah pun umumkan mahu mencari penyanyi tetap. Saya hanya mahu lakukan yang terbaik buat Search.
“Hal dalaman yang terjadi dalam band mereka, itu hal mereka. Kalau mereka perlukan saya lebih lama syukur Alhamdulillah. Jika tidak sekalipun, saya tidak berkecil hati dan harapkan yang baik-baik buat mereka,” katanya.
Terdahulu, sejak kumpulan Search berpecah kepada dua, mereka telah berkolaborasi dengan beberapa penyanyi sebagai vokalis antaranya anak kelahiran Indonesia Denden Gonjalez dan Amir Masdi. -UTUSAN