SHAH ALAM: Sindiket dadah oleh pasangan kekasih yang meraih pendapatan lebih RM300,000 sebulan tumpas apabila kedua-duanya ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Petaling Jaya, pada Selasa lepas.
Tangkapan pertama dibuat pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Jabatan Siasatan Narkotik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) bersama ke atas seorang lelaki berusia 24 tahun kira-kira pukul 3.50 petang dekat kawasan parkir kereta kondominium.
Dalam masa sama, polis turut menemukan dan merampas 20 bungkusan dadah jenis ganja seberat 2.12 kilogram (kg).
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, susulan tangkapan tersebut, polis menemukan pasangannya seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.
“Kira-kira pukul 5 petang polis menahan remaja itu dekat sebuah kondominium dan merampas dua bagasi masing-masing menganduni dadah jenis ganja masing-masing seberat 5.06 kg dan 3.2 kg.
“Justeru, jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah seberat 10.16 kg bernilai RM38,000 yang dipercayai oleh dibekalkan kepada 20,300 orang pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira kadar penggunaan sebanyak 0.5 gram (g).
Tambahnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mereka mengaku sebagai mahasiswa dekat sebuah kolej swasta, namun dipercayai menyewa unit kondominium terbabit dengan bayaran RM3,800 sebulan dan tinggal bersama sejak setahun lalu.
“Dadah tersebut dipercayai diperolehi dari Thailand dalam bentuk ketulan mampat pelbagai saiz dan berbentuk hati. Kemudian dipecahkan kepada ketulan kecil seberat 0.5g dan dijual pada harga RM50 seketul.
“Pasangan terbabit turut menjual ketulan besar berbentuk hati dan petak masing-masing berat 106g dan 210g pada harga RM200 dan RM500 seketul. Modus operandi jualan adalah melalui media sosial dan penghantaran dibuat secara bersemuka,” jelasnya.
Kata Mohd. Iqbal lagi, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga esok sementara hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-duanya negatif dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Justeru, mereka disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutkan Harta) 1988 dan polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota GT86 bernilai RM200,000 milik mereka. – UTUSAN