KUALA NERUS: Pasangan kembar seiras mencipta kenangan indah apabila berkongsi pentas untuk menerima ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-22 di sini, hari ini.
Syahmi Farhan Mohd. Suhaimi dan Zharfan Aiman Mohd. Suhaimi, keduanya berusia 23 tahun berkata, sejak kecil mereka berdua tidak pernah berpisah dan sentiasa melakukan pelbagai hobi dan aktiviti bersama-sama.
“Kami bersekolah di sekolah yang sama, menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi yang sama dan akhirnya menjejakkan kaki ke UMT untuk mengikuti program Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) bersama-sama.
“Kami berdua juga memang berminat dengan apa sahaja siaran dokumentari tentang haiwan dan lautan, terutama rancangan seperti National Geographic.
“Dari kecil lagi, kami suka membayangkan bagaimana kehidupan di dalam laut dan betapa luasnya alam ini yang akhirnya menjadi bidang pengajian kami di UMT,” kata Zharfan Aiman ketika ditemui di sini, hari ini.
Pasangan kembar itu adalah antara 2,775 graduan yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen UMT kali ke-22 yang berlangsung sejak Ahad lalu di kampus UMT, Gong Badak.
Minat mereka dalam dunia hidupan marin semakin mendalam apabila diberi peluang untuk melakukan aktiviti penyelidikan dan eksplorasi di laut menerusi program-program akademik dan juga aktiviti pensampelan yang dilakukan di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong.
Tambahnya, UMT yang terkenal dengan bidang tujahan sains marin dan sumber akuatik semakin mencipta nama di persada global merupakan pilihan tepat untuk meneruskan pengajian di kampus yang terletak di pesisir pantai Laut China Selatan itu.
“Kami bersyukur kerana dapat menimba ilmu di UMT, terutama dalam bidang sains marin yang semakin relevan dalam era perubahan iklim dan kemerosotan biodiversiti.
“Kami bangga menjadi sebahagian daripada institusi yang menerajui penyelidikan marin bukan sahaja di peringkat tempatan, malah di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN