Pasangan kembar jual pin tudung cari duit sambung belajar

Pasangan kembar jual pin tudung cari duit sambung belajar

AINUL Mardhiah Zolkiffly (kiri) membetulkan reben pada tudung kakaknya, Ainul Kamilah (kanan) ketika sesi pendaftaran pelajar baharu di USM, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Demi mencari wang sebagai persediaan untuk menyambung pengajian di peringkat menara gading, sepasang kembar berusia 19 tahun mengambil insiatif sendiri dengan berniaga pelbagai jenis pin tudung hasil kreativiti sendiri di aplikasi TikTok.

Selain mengumpul wang untuk belajar, Ainul Kamilah Zolkifly dan adiknya Ainul Mardhiah juga menggunakan wang yang diperoleh hasil jualan pin tersebut untuk membantu ibu mereka, Marina Abdullah, 55, yang juga seorang ibu tunggal.

Penat-jerih dua beradik itu akhirnya berbaloi apabila mereka bukan sahaja menerima wang tambahan, malah, ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Lebih istimewa, Ainul Kamilah dan Ainul Mardhiah turut dibantu oleh pengurusan USM yang datang menjemput mereka di Sungai Petani, Kedah dengan menggunakan kenderaan universiti untuk mendaftar di universiti tersebut hari ini kerana Marina tidak dapat memandu kereta dalam jarak yang jauh.

Ainul Kamilah berkata, ibunya bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah pejabat agensi kerajaan dan perbelanjaan untuk menampung dia dan adiknya ke universiti agak besar.

“Ibu dan bapa kami bercerai sejak usia kami tujuh tahun. Jadi, untuk membantu meringankan beban ibu, kami mengambil peluang berniaga di TikTok selepas tamat pengajian di Pusat Matrikulasi Pahang.

“Dalam tempoh dua bulan berniaga, kami berjaya menjual lebih 1,000 pin tudung yang kami hasilkan sendiri dan wang berkenaan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan untuk pengajian kami (di USM),” katanya ketika ditemui di Dewan Utama Desasiswa universiti itu, di sini hari ini.

Selain, Ainul Kamilah Zolkifly dan adiknya Ainul Mardhiah, terdapat empat lagi pasangan kembar yang mendaftar masuk sebagai pelajar baharu di USM hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pelajar baharu yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) serta penerima program bantuan Siswa Sulung, Siti Nur Aishah Abdul Rani, 20, berkata, dia tidak akan menjadikan kecacatan matanya sebagai penghalang untuknya bergelar pendidik suatu hari nanti.

“Mata saya buta sebelah kiri sejak berusia lima tahun kerana terkena mercun bola. Pada waktu itu, saya melalui satu kawasan di mana ada kanak-kanak yang saya kenali sedang bermain mercun bola dan mercun itu meletup lalu terkena mata saya.

“Saya tidak pernah memarahi sesiapa walaupun tragedi ini menyebabkan saya buta kekal. Saya teruskan kehidupan dan mahu berjaya menjadi pendidik satu hari nanti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN