Pas yakin MN akan kembali hidup - Hashim - Utusan Malaysia

Pas yakin MN akan kembali hidup – Hashim

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas yakin kerjasama Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) akan kembali hidup pada masa akan datang kerana perpaduan itu sangat diharapkan daripada akar umbi kedua-dua parti tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, bagaimanapun, kerjasama tersebut dilihat agar sukar direalisasikan pada masa ini dengan kepemimpinan UMNO yang ada sekarang.

Katanya, sehingga kini, Pas tidak pernah sama sekali menganggap UMNO sebagai musuh dengan pintu kerjasama itu sentiasa terbuka.

“Saya tetap merasa optimis bahawa perpaduan yang Allah SWT perintah itu akan terlaksana juga dengan syarat bahawa ciri-ciri untuk berpadu itu dapat disuburkan dengan pihak yang hendak bekerjasama itu.

“Tetapi sekarang ini, dengan kepemimpinan yang ada dalam UMNO, maka mungkin bukan masa yang sesuai untuk kita bertungkus lumus ke arah perpaduan ini.

“Walaupun kita melawan dengan UMNO ketika ini namun dalam masyarakat dalam kampung dan sebagainya perpaduan antara dua parti itu sudah nampak,” katanya.

Pada 14 September lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, partinya akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO kecuali Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha menghidupkan kembali MN yang dibentuk kedua-dua parti pada 2019.

MN ialah kerjasama berpiagam antara dua parti politik teras Melayu-Islam, Pas dan UMNO yang dibentuk hasil daripada Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai antara kedua-dua semasa Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019.

Sementara itu, mengulas mengenai dua kekalahan berturut Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Hashim berkata, kemenangan sesebuah parti itu adalah bergantung kepada sesuatu isu bukannya atas faktor calon yang diketengahkan semata-mata.

Katanya, kemenangan PN dalam PRK Sungai Bakap sebelum itu juga bergantung kepada isu pada masa itu bukan hanya disebabkan calon.

“Itulah juga yang berlaku di Nenggiri dan Mahkota, apabila kita boleh wujudkan isu yang meyakinkan pengundi maka kita boleh menang dan jika pihak lawan menguasai isu juga, mereka boleh menang.

“Orang selalu nilai dapat undi banyak, majoriti tinggi itu kejayaan. Kita dalam Islam ini, kejayaan dalam perjuangan ini adalah kerja yang kita persembahkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya