[Parlimen] Tuntutan perairan, Malaysia tidak akan berganjak - PM

[Parlimen] Tuntutan perairan, Malaysia tidak akan berganjak – PM

ANWAR IBRAHIM/IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghalang mana-mana negara menjadikan perairan Malaysia sebagai laluan pertahanan tanpa izin bagi berhadapan dengan pertikaian yang berlaku antara mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak akan berganjak dengan tuntutan mengenai kawasan-kawasan milik negara.

Menurut beliau, negara mempunyai pelbagai isu dengan semua negara lain termasuk Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Sebab itu kita kurang setuju apabila permasalahan, pertelingkahan sempadan hanya dirujuk kepada satu negara umpamanya China, padahal kita mempunyai masalah (dengan pelbagai negara).

“(Bagaimanapun), masalah ini tidak menjejaskan hubungan diplomatik, perdagangan dan persahabatan yang akrab dengan jiran-jiran kita tetapi kita akan terus menegur serta membantah sekiranya perairan kita digunakan sebagai laluan pertahanan tanpa izin,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) mengenai pendekatan dan strategi Malaysia untuk memanfaatkan saluran diplomasi ASEAN dalam rangka menyelesaikan masalah tuntutan bertindih terutama di Laut China Selatan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia akan menggunakan saluran rundingan dan dialog untuk menangani serta menyelesaikan isu sempadan.

“Tapi kita dari segi Malaysia, tak berganjak pendirian kita tentang kawasan milik Malaysia. Sebab itu cari gali minyak oleh Petronas termasuk di kawasan (projek gas) Kasawari diteruskan.

“Walaupun dibangkitkan oleh China, kita kata akan teruskan (cari gali) tapi tak pernah tutup ruang untuk berbincang dengan mana-mana negara,” jelasnya.

Sementara itu, ASEAN sepakat bahawa sebarang isu sempadan yang berbangkit akan diselesai mengikut kerangka Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Di mesyuarat ASEAN lalu, di hadapan Amerika Syarikat (AS) dan China, termasuk Jepun, Korea Selatan dan ASEAN, saya tegaskan mengenai keperluan untuk terikat kepada UNCLOS 1982.

“Kerana perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengikat dan saya lihat maklum balas daripada China, yang setuju penyelesaian (sempadan) mengikut kerangka UNCLOS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya