KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tidak adil mengaitkan Farhash Wafa Salvador dengan beliau hanya kerana ahli perniagaan itu pernah menjadi setiausaha politiknya.
Perdana Menteri berkata, Farhash sudah tidak berkhidmat dengannya sejak lima tahun lalu maka tidak adil untuk mengaitkan beliau dengan individu berkenaan.
Kata beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diarah untuk melakukan siasatan sekiranya terdapat laporan, hal sama turut terpakai kepada Farhash.
“Saya tidak mahu panjangkan kerana ini melibatkan isu-isu yang bagi saya remeh, melibatkan individu. Kerana kebetulan dia pernah (semasa) empat ke lima tahun lalu menjadi kakitangan saya maka ia dibangkitkan.
“Saya nak beritahu, kelulusan kepada syarikat itu adalah semasa kerajaan terdahulu. Semasa itu Farhash belum menjadi anggota syarikat tersebut. Kemudian, syarikat yang berkenaan sekarang dimiliki oleh Tuanku, sebahagian besar sahamnya,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang memintanya memberi kenyataan tegas susulan akwaan media antarabangsa, Bloomberg berhubung wujud campur tangan Anwar dalam SPRM.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, sekiranya terdapat kes salah laku, beliau tidak akan cuba menghalang atau menutup siasatan dilakukan.
“Tapi saya tanya, kes apa sekarang ini? Cuma kata ada kes, kalau dirujuk satu yang saya tahu, saya semak fail. Memang betul ia diluluskan pada tahun 2022 (iaitu) sebelum saya jadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Tetapi untuk terus kaitkan saya hanya kerana dia pernah jadi kakitangan saya (maka) saya rasa itu kurang adil,” katanya. – UTUSAN