[PARLIMEN] RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 selesaikan isu kewarganegaraan 

[PARLIMEN] RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 selesaikan isu kewarganegaraan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan mencerminkan kesungguhan politik kerajaan untuk melakukan reformasi, menunaikan janji dalam manifesto serta menghentikan ketidakadilan terhadap golongan ibu dan anak.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, komitmen kerajaan dibuktikan dengan membawa usul pindaan itu dan telah dihantar ke Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat untuk dikaji dan mendapatkan pandangan semua Ahli Parlimen.

“Pindaan ini suatu naskah yang holistik. Tiada ruang penolakan berdasarkan perundangan dan garis panduan sekiranya seseorang itu mencukupi syarat dan kelayakan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pindaan itu antaranya memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara, untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Tambah Hannah, pindaan itu juga selaras dengan manifesto gabungan politik Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Terdahulu, beliau turut memaklumkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Segambut menerima 97 permohonan berhubung kewarganegaraan dan daripada jumlah itu, 41 diluluskan, 14 dengan status selesai, 12 ditolak dan 30 permohonan sedang diproses.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut menyambut baik pindaan itu yang memberikan hak kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang lahir di luar negara dengan ibunya merupakan warga Malaysia.

“Saya bersetuju dengan pindaan yang memberikan hak kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak-anak dalam kategori ini, hanya untuk satu generasi sahaja,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu dilihat sebagai suatu mekanisme kawalan penting untuk memastikan kelonggaran kepada hak kewarganegaraan yang diberikan menerusi pindaan itu tidak disalahgunakan.

“Saya percaya kita sebagai rakyat yang setia kepada negara tidak mahu suatu masa nanti, wujud generasi warga Malaysia melaksanakan hak-hak sebagai warganegara termasuk hak mengundi dalam pilihan raya tetapi seumur hidupnya tinggal di luar negara dan tidak menumpahkan taat setia kepada Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya