KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU tersebut sepatutnya dibentangkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bagaimanapun ia digantikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said atas masalah kesihatan.
RUU itu adalah bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan (KWD) untuk perkhidmatan bagi tahun 2025.
Azalina berkata, pembentangan untuk bacaan kedua RUU tersebut akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan.
Terdahulu, media melaporkan, pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat ini Oleh Perdana Menteri bakal melibatkan pandangan pelbagai lapisan rakyat.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, RUU Perbekalan itu dengan tema ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ akan memberikan fokus jelas pertumbuhan Malaysia.
Katanya, ini turut mengambil kira banyak cabaran semasa yang sentiasa berubah pantas selain 2025 juga merupakan tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-12 yang bermula pada 2021. – UTUSAN