KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Majlis Media Malaysia (MMM) dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat Parlimen kali ini yang akan belangsung hingga 12 Disember ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya sudah selesai melaksanakan proses Analisis Impak Peraturan (RIA) bagi penubuhan MMM.
Kata beliau, draf RUU MMM yang dipersetujui secara bersama sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan terakhir sebelum Memorandum Jemaah Menteri mengenai RUU tersebut disediakan.
“RUU ini dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Parlimen kali ini tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri,” katanya di dalam jawapan bukan lisan yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang memintanya menyatakan status terkini penubuhan MMM seperti dijanjikan sebelum ini serta garis masa pelaksanaannya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, penubuhan sebuah organisasi kawal selia kendiri bagi media dan pengamalnya pada masa kini adalah penting untuk mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme dan menyediakan ruang untuk aduan awam terhadap media.
“MMM apabila ditubuhkan kelak bertanggungjawab untuk membangunkan dan melaksanakan kod etika pelaporan.
“Hal ini akan dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara dan dalam masa yang sama memastikan pelaporan berita yang dilakukan oleh media dilakukan secara bertanggungjawab,” jelasnya. – UTUSAN