PARLIMEN: RM5.757 bilion kepada usahawan PMKS

PARLIMEN: RM5.757 bilion kepada usahawan PMKS

EWON Benedick IHSAN/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan pembiayaan berjumlah RM5.757 bilion kepada seramai 251,651 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sehingga Ogos lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, skim pembiayaan tersebut disediakan melalui agensi-agensi di bawah kementeriannya.

Kata beliau, ia bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan PMKS melalui program pembangunan PMKS secara bersepadu serta bersasar seperti Pembangunan Kapasiti Vendor 2.0 melibatkan sebanyak 30 syarikat vendor dengan peruntukan RM3.5 juta.

“Selain itu, sehingga 30 September 2024, SME Corp. Malaysia melaksanakan Program Business Accelerator (BAP) kepada seramai 197 usahawan PMKS melibatkan peruntukan sebanyak RM34.12 juta,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang memintanya menyatakan berapa bilangan terkini usahawan PMKS serta bilangan terkini usahawan informal selepas era pandemik COVID-19 serta apakah langkah kementerian memastikan para usahawan meningkatkan lagi jualan perniagaan mereka.

Sementara itu, Ewon berkata, bilangan PMKS yang direkodkan sehingga 31 Disember 2023 adalah seramai 1,101,725 orang sementara bilangan usahawan informal pula adalah seramai 955,200 orang pada tahun 2021.

Katanya, antara usaha lain yang dilakukan untuk meningkatkan hasil jualan perniagaan usahawan adalah melaksanakan program galakan eksport dan dan penyertaan dalam misi perdagangan luar negara seperti Program Pengukuhan Eksport PKS (SMEs Go Global) oleh SME Corp.

“Malaysia dan Program Business Exports Program (BEP) di SME Bank, melalui insiatif ini juga, KUSKOP telah mengadakan misi pengembangan perniagaan usahawan ke Osaka, Jepun pada 16 hingga 21 September lalu melibatkan seramai 15 usahawan dan merekodkan potensi nilai jualan berjumlah RM34.89 juta.

“(Selain itu) menyediakan Skim Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) di bawah Bank Rakyat termasuk kepada usahawan informal, dengan menawarkan pembiayaan sifar kadar keuntungan khusus untuk para penjaja dan peniaga kecil. Sejak dilancarkan pada 7 September lalu, sebanyak RM567,500 sudah diluluskan kepada seramai 19 usahawan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan memperkenal platform MyMall yang merupakan sebuah platform pembangunan ekosistem keusahawanan digital dengan menyediakan ruang pemasaran dalam talian secara percuma kepada PMKS dan koperasi tempatan.

“Sehingga September 2024, seramai 2,544 peniaga berdaftar di MyMall melibatkan sebanyak 2,082 produk dan mencatatkan nilai jualan berjumlah RM8.86 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya