PARLIMEN: Pertimbang semula penyasaran subsidi RON95 - Muhyiddin

PARLIMEN: Pertimbang semula penyasaran subsidi RON95 – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menilai dan mempertimbang semula keputusan untuk melakukan penyasaran subsidi petrol RON95 yang dibimbangi menyebabkan kenaikan harga barang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata,  kesan berantai akan dirasai oleh rakyat walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa hanya golongan T15 yang  membayar lebih.

Beliau berkata,  jika golongan T15 adalah golongan peniaga dan usahawan, ia menyebabkan kos kenaikan harga petrol terpaksa ditanggung dan dipindahkan kepada pengguna dengan menaikkan harga barang serta perkhidmatan. 

“Akhirnya, yang terjejas dengan penghapusan subsidi petrol ini bukan hanya golongan T15, tetapi golongan B40 dan M40.

“Dalam keadaan rakyat sedang menanggung beban kos sara hidup yang tinggi dan harga barang melambung, kerajaan tarik subsidi dan naikkan cukai. 

“Kesan langsung daripada tindakan ini ialah harga barang menjadi lebih mahal dan beban yang ditanggung oleh rakyat semakin berat,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini. 

Menurut Muhyiddin, kerajaan juga perlu mengkaji semula penghapusan subsidi pendidikan di sekolah berasrama penuh untuk golongan T15. 

“Sudahlah mereka terpaksa membayar harga petrol yang lebih mahal bermula tahun hadapan, mereka terpaksa membayar lebih untuk pendidikan anak-anak di asrama penuh. 

“Seeloknya, hal pendidikan untuk anak-anak ini janganlah diganggu. Dasar memberi pendidikan percuma kepada semua lapisan rakyat yang diamalkan sejak dahulu mesti diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau bimbang cadangan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 bermula Februari depan.

Menurut beliau, kenaikan gaji minimum mestilah disokong dengan dasar dan tindakan kawalan harga yang jelas. 

“Kerajaan mestilah melihat secara terperinci masalah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat kecil yang tidak mampu menampung kenaikan kos operasi syarikat akibat kenaikan kos upah. 

“Ini kerana kesan berantai kenaikan gaji minimum ini besar. Ia bukan sekadar kenaikan kos upah yang terpaksa ditanggung oleh syarikat tetapi juga kos operasi, logistik, inventori dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN