PARLIMEN: Perluas SST kena  perincikan bukan setakat sebut avokado, salmon

PARLIMEN: Perluas SST kena  perincikan bukan setakat sebut avokado, salmon

DATUK Seri Hamzah Zainudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang menyelar tindakan kerajaan yang mengumumkan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tanpa perincian mekanisme  ketika pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, seharusnya belanjawan yang dibentangkan itu tidak mengambil pendekatan ‘umum dulu’, sebaliknya menggariskan dasar yang lebih jelas supaya semua pihak memahami langkah kerajaan dalam menguruskan bajet terbesar dalam sejarah negara.

Menurut beliau, tanpa perincian tersebut, ia menimbulkan keraguan dan pelbagai persoalan dalam ekonomi yang mampu memberi kesan kepada rakyat dan negara.

“Misalnya diumumkan SST mahu diperluaskan, tetapi hanya perincian salmon dan avokado diumumkan.

“Berapa sebenarnya anggaran hasil yang akan dikutip oleh kerajaan. Berapa peratus yang akan dikenakan kepada salmon dan avokado ini… apakah sudah ada senarai barangan?” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Hamzah dalam masa yang sama turut mempersoalkan tekanan pelbagai cukai yang dikenakan terhadap rakyat.

“Ada cukai perkhidmatan digital, cukai barang nilai rendah, cukai keuntungan modal, cukai barangan bernilai tinggi dan ada kenaikan cukai kenaikan lapangan terbang.

“Sudahlah banyak cukai-cukai, muncul pula e-invois, pelaksanaannya akan dibuat sepenuhnya bermula 1 Julai 2025, semuanya dilonggok atas rakyat. Bukankah ini beban?” katanya.

Menyentuh pelaksanaan gaji minimum RM1,700, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut memohon supaya kerajaan mengkaji semula ketetapan gaji minimum RM1,700 bermula Februari 2025.

Katanya, PN bersetuju dengan pelaksanaan gaji minimum, namun perlu ditangguhkan pelaksanaannya bagi sektor-sektor tertentu.

“Jika dibuat secara penuh, kita bimbang golongan PKS akan menjadi kelompok paling terjejas… sebaiknya berilah tempoh setahun, iaitu bermula 2026 bagi membolehkan pihak industri khususnya pemain PKS membuat penyesuaian dan persediaan.

“Tambahan pula, kontrak yang baru diterima kebiasaannya diperoleh pada pertengahan 2024 dan pengiraan dibuat berasaskan kos buruh pada kadar RM1,500, tetapi dalam masa empat bulan dari sekarang kos operasi mereka melambung yang memungkinkan bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian tetapi tidak mustahil gulung tikar,” katanya.

Menjawab celahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang menyatakan seolah-olah pembangkang berbahas tiada perkara yang baik dalam Belanjawan 2025, Hamzah berkata, beliau di pihak pembangkang sudah pasti akan bercakap pada perkara yang kurang baik bagi tujuan penambahbaikan.

“Kalau Pasir Gudang dengar ucapan saya daripada mula, saya ucapkan tahniah, banyak yang baik. Tapi saya tidak perincikan satu-satu. Yang saya mahu sebut ini yang kurang baiklah, supaya memperbetulkan yang kurang baik. Cuba kita lihat minggu lepas, (RUU) kewarganegaraan, baik. Kita sokong 100 peratus,” katanya.

Hamzah berkata, PN akan sentiasa menyokong pembangunan infrastruktur yang kondusif dan pemberian bantuan kerajaan kepada rakyat.

Katanya, bukan hanya harapan rakyat biasa, pemain industri dan pelabur juga meletakkan harapan begitu tinggi kepada belanjawan ini.

“Kestabilan ekonomi dan polisi yang jelas akan memberikan keyakinan kepada mereka. Berikan beberapa insentif kepada mereka, berikan geran dan akses pembiayaan yang mencukupi, bangunkan infrastruktur dan ekosistem perniagaan yang kondusif.

“Dan kami di pihak sini akan menyokong demi masa depan negara yang lebih baik kerana ia boleh memberikan keyakinan kepada pelabur luar untuk memberi manfaat kepada ekonomi negara,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya