PARLIMEN: Penyertaan Malaysia dalam BRICS tidak jejas PMKS

PARLIMEN: Penyertaan Malaysia dalam BRICS tidak jejas PMKS

LIEW CHIN TONG-JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia ke dalam blok BRICS (Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan) tidak menjejaskan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di dalam negara.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, penyertaan ke dalam gagasan BRICS tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana perjanjian perdagangan yang mana ia tidak membuka pasaran negara kepada negara lain.

“Sebenarnya negara kita sudah ada perjanjian perdagangan dengan China dan hubungan dengan negara lain. Jadi masuk BRICS atau tidak, konteks itu tiada kaitan dengan persaingan antara PMKS dengan negara-negara lain.

“Untuk memperkasa PMKS dan Malaysia, kita mahu perkasa rantaian pembekalan atau supply chain supaya syarikat-syarikat kita boleh membekalkan kepada syarikat dalam negara dan di dunia,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang meminta menyatakan apakah mekanisme disediakan bagi memastikan usahawan PMKS tidak tenggelam dan mampu bersaing sekiranya menyertai blok BRICS.

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, Malaysia sedang giat melakukan usaha-usaha untuk meraih sokongan daripada negara-negara yang menganggotai BRICS.

“Menteri Luar Negeri telah mengutus surat rasmi kepada Menteri-Menteri Luar Negeri daripada sembilan negara anggota BRICS untuk tujuan tersebut,” katanya.

Tambahnya, kehadiran seorang menteri kanan Malaysia pada satu sidang kemuncak berkenaan BRICS pada hujung bulan ini juga dilihat sebagai peluang untuk meraih sokongan dari negara-negara anggota blok BRICS.

“Berdasarkan kriteria dan syarat yang perlu dipatuhi Malaysia untuk diterima sebagai calon ahli baharu (BRICS), diperhatikan bahawa objektif perluasan gagasan BRICS pada masa ini adalah tertumpu kepada usaha untuk menangani isu-isu ekonomi dan isu pembaharuan atau reformasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Dari pemerhatian kerajaan, terdapat pelbagai potensi dari segi ekonomi yang boleh diraih oleh Malaysia daripada penglibatan yang lebih erat dengan gagasan BRICS. Antara faedah signifikan boleh dimanfaatkan Malaysia adalah menjadikan BRICS sebagai satu landasan untuk mengetengahkan pandangan dan pendirian mengenai isu-isu ekonomi serantau,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya