PARLIMEN: Pengeluaran Akaun Persaraan KWSP untuk haji tidak dibenarkan 

PARLIMEN: Pengeluaran Akaun Persaraan KWSP untuk haji tidak dibenarkan 

LIM HUI YING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak membenarkan sebarang permohonan untuk pencarum mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menunaikan Haji.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, sebanyak 6,070 permohonan yang berjumlah RM16.7 juta telah diluluskan bagi pengeluaran haji daripada Akaun Sejahtera dengan purata RM2,759 bagi setiap permohonan sejak 2013.

Kata beliau, amaun yang boleh dikeluarkan daripada Akaun Sejahtera adalah berbeza jumlah kos haji dengan baki simpanan akaun Tabung Haji ahli ketika menerima tawaran haji serta tertakluk kepada amaun maksimum RM3,000 atau baki Akaun Sejahtera.

“Sekiranya ahli memerlukan pembiayaan tambahan, ahli boleh mengeluarkan simpanan daripada Akaun Fleksibel.

“Kerajaan tidak membenarkan sebarang pengeluaran daripada Akaun Persaraan ini bagi memastikan ahli sekurang-kurangnya mempunyai simpanan asas sebanyak RM240,000 bagi memastikan kelangsungan hidup semasa persaraan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan, Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang meminta adakah kerajaan bercadang mengubah polisi untuk membenarkan pekerja yang belum mencapai umur persaraan untuk mengeluarkan Akaun Persaraan ketika terpilih untuk menunaikan haji sebelum umur persaraan dan berapa jumlah ahli pencarum KWSP yang telah dibenarkan untuk pengeluaran Akaun Sejahtera atau Akaun Fleksibel.

Tambah Hui Ying, KWSP membenarkan individu untuk berdaftar dan mencarum secara sukarela seawal usia 14 tahun untuk menggalakkan simpanan dan memanfaatkan gandaan dividen lebih awal.

“Walaupun mereka yang berusia di bawah 16 tahun biasanya tidak bekerja secara formal, mereka boleh membuat caruman sendiri atau caruman daripada pihak lain (seperti ibu bapa) ke dalam akaun KWSP.

“Tiada amaun minimum ditetapkan, namun caruman sukarela adalah tertakluk kepada had maksimum RM100,000 setahun.

“Ini adalah langkah yang baik bagi golongan muda untuk mula menyimpan dan memupuk kesedaran tentang pentingnya simpanan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN