PARLIMEN: Nadma salur RM232 juta bantu mangsa bencana

[PARLIMEN] Nadma salur RM232 juta bantu mangsa bencana

ANWAR IBRAHIM/IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM232 juta kepada semua negeri untuk diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa musibah yang terjejas akibat bencana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan diagihkan kepada keluarga yang memenuhi syarat-syarat kelayakan ditetapkan oleh kerajaan.

Pada masa sama, beliau berkata, Nadma juga bersedia menyalurkan peruntukan tambahan sekiranya diperlukan mengikut permohonan oleh negeri berdasarkan jumlah sebenar KIR yang terjejas akibat bencana.

“Semua perancangan ini akan diperhalusi dari semasa ke semasa oleh pihak kerajaan. 

“Pengurusan bencana adalah tanggungjawab bersama, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak yang lain, hendaklah berganding bahu bagi memastikan pelaksanaannya adalah menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) di Parlimen, semalam.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan keadaan cuaca semasa dan musim Monsun Timur Laut (MTL), seramai 82,794 pegawai dan anggota pelbagai cadang agensi kerajaan di semua peringkat di seluruh negara berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya.

Katanya, jumlah keanggotaan itu turut disokong dengan 37,127 unit pelbagai aset yang bersedia diaturgerakkan pada bila-bila masa.

“Aset itu melibatkan 2,031 bot penyelamat; 1,399 jentera kenderaan pacuan empat roda; 1,646 jentera kenderaan berat; 31 helikopter; 30,260 jaket keselamatan pelbagai saiz untuk kegunaan mangsa dan 1,760 jambatan panel keluli bermodular.

“Selain itu, bagi memastikan keselesaan dan kebajikan mangsa banjir, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersedia untuk mengaktifkan 8,481 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 2,158,743 mangsa pada satu-satu masa,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, dalam langkah pra bencana, kerajaan telah melaksanakan program simulasi dan sesi libat urus di seluruh negara bagi memantapkan persediaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan agensi-agensi tindak balas.

Katanya, kerajaan turut melaksanakan program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap bencana serta peranan mereka sebagai responden awal.

“Ia adalah sebagai langkah pelan tindakan kecemasan bagi memastikan keselamatan mangsa banjir diutamakan dan meminimumkan kehilangan harta benda.

“Dari aspek pemantauan dan amaran awal, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengemaskini dan mengenalpasti sebanyak 5,648 lokasi hotspot banjir di seluruh negara bagi menangani serta mengurangkan risiko banjir yang akan datang dengan pelaksanaan segera,” katanya.

Menurut Perdana Menteri lagi, bagi memastikan tindakan seberapa segera diambil apabila berlakunya sebarang kejadian bencana termasuk banjir besar, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada 3 Oktober lalu telah mengarahkan supaya JPBD diaktifkan dan peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan.

“Di samping itu, semua JPBN dan JPBD juga diarahkan bersedia lebih awal untuk memastikan bantuan bekalan sampai ke lokasi yang terlibat bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya.

“Bagi memastikan pengarahan turun dengan lebih cepat ke lapangan, satu High Level Committee (HLC) telah dibentuk semenjak MTL 2023/2024 bagi memperincikan gerak kerja tindak balas bencana yang lebih terselaras,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya