PARLIMEN: Malaysia pegang dasar ‘tidak bersekutu’ elak perang perdagangan

PARLIMEN: Malaysia pegang dasar ‘tidak bersekutu’ elak perang perdagangan

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia sentiasa berpegang pada dasar ‘tidak bersekutu’ dengan negara-negara kuasa ekonomi bagi mengelak isu-isu antarabangsa termasuk perang perdagangan yang melibatkan Amerika Syarikat, China dan Russia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan terus berusaha mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan diplomasi perdagangan dengan semua negara.

Kata beliau, ia bagi memastikan negara tidak tersepit dalam kancah peperangan perdagangan dalam kalangan negara-negara kuasa ekonomi yang maju.

“Kerajaan akan terus mengukuhkan hubungan kerjasama dengan rakan dagang sedia ada seperti negara-negara ASEAN, Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah, Jepun, Korea dan India.

“Di samping itu, Malaysia akan mengeratkan juga kerjasama ekonomi dengan rakan-rakan dagang bukan tradisional seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Pakistan, negara-negara di Asia Tengah seperti Kazakhstan, Uzbekistan serta negara-negara di Amerika Selatan seperti Brazil, Peru dan Mexico

“Kerajaan juga akan memberi perhatian kepada negara-negara pasaran baharu seperti Oman, Kenya, Mesir, Angola, Namibia, Algeria dan Libya yang mencatatkan peningkatan eksport yang ketara bagi tempoh Januari hingga September 2024 hasil daripada strategi kepelbagaian eksport,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menjamin kelangsungan syarikat dan industri berkepentingan utama supaya tidak menjadi mangsa perang perdagangan khususnya antara Amerika Syarikat, China dan Russia.

Tambah Tengku Zafrul, kerajaan akan terus memberi galakan dan penekanan kepada industri tempatan untuk menggunakan sumber domestik bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan-bahan mentah terutamanya import dari negara-negara yang terlibat dalam perang perdagangan.

“Sumber bekalan dari rantau ASEAN akan diberi keutamaan bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya