PARLIMEN: Malaysia kurangkan kebergantungan, elak kesan ketegangan geopolitik

PARLIMEN: Malaysia kurangkan kebergantungan, elak kesan ketegangan geopolitik

ZAFRUL Tengku Abdul Aziz IHSAN/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang giat melakukan usaha untuk mengurangkan kebergantungan dan mempelbagaikan strategi pelaburan serta perdagangan bagi mengelak  terjejas dengan ketegangan geopolitik antarabangsa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia tidak menerima kesan yang signifikan untuk jangka masa pendek daripada ketegangan geopolitik yang sedang memuncak.

Namun, kata beliau, negara tidak boleh memandang remeh terhadap kesan jangka panjang sekiranya konflik di peringkat antarabangsa itu berlarutan.

“Untuk makluman, Rusia dan Ukraine bukanlah rakan dagang utama negara, perdagangan dua hala dengan kedua-dua negara tersebut bagi 2023 hanya sebanyak 0.25 peratus daripada keseluruhan jumlah dagangan antarabangsa negara.

“Nilai dagang dua hala secara individu dengan negara-negara timur tengah yang juga sedang bergolak adalah rendah.

“Tetapi bagi mengatasi kesan geopolitik yang berpanjangan, kementerian sedang giat mengurangkan kebergantungan serta mempelbagaikan strategi pelaburan dan perdagangan bagi memastikan ekonomi Malaysia terus berdaya tahan,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi soalan daripada Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta menyatakan langkah yang diambil kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan serta mempelbagaikan strategi pelaburan dan perdagangan bagi memastikan ekonomi Malaysia berdaya tahan daripada dampak ketegangan geopolitik berpanjangan di Rusia-Ukraine serta di Timur Tengah yang kini sudah merebak ke negara sekitar.

Zafrul berkata, antara strategi utama yang sudah dan sedang dilaksanakan adalah mempergiat penganjuran misi galakan pelaburan serta perdagangan bagi mengukuhkan hubungan kerjasama antara Malaysia dengan rakan dagang sedia ada.

katanya, kerajaan juga akan mengeratkan kerjasama ekonomi dengan rakan dagang yang bukan tradisional.

“(Kerajaan) memberi galakan kepada industri tempatan juga untuk meningkatkan sumber domestik dan mengurangkan kebergantungan bahan-bahan mentah daripada luar negara. Langkah ini termasuk mengutamakan sumber bekalan dari rantau ASEAN.

“Kita juga melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu yang merangkumi strategi bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan industri tempatan dalam mendepani krisis ekonomi atau kesihatan global pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedang merunding beberapa perjanjian perdagangan bebas yang baharu.

“(Ini) untuk membuka pasaran bagi eksport Malaysia yang lebih stabil dan kompetitif, antara lainnya melalui peraturan pentadbiran lebih seragam, pengurangan prosedur kastam serta menarik pelaburan berkualiti ke negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya