KUALA LUMPUR: Lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dibatalkan sebelum ini dijangka siap pada suku keempat 2027 dan beroperasi pada suku kedua tahun berikutnya.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang memuktamadkan butiran teknikal dan kewangan Perjanjian Kontrak Tambahan.
Sehubungan itu, kata beliau, skop kerja pengembalian semula melibatkan skop reka bentuk dijangka akan bermula pada suku pertama tahun hadapan.
“Manakala kerja-kerja fizikal dijangka akan bermula pada suku keempat 2025 bagi tempoh dua tahun.
“Pembinaan lima stesen ini dijangka siap pada suku keempat 2027 dan dijangka akan beroperasi bermula pada suku kedua 2028,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) yang memintanya untuk menyatakan status terkini penerusan projek lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini, termasuk unjuran tarikh pengoperasian serta implikasi kos tambahan yang terlibat berbanding unjuran asal.
Mengulas lanjut, Hasbi berkata, kos keseluruhan projek LRT3 adalah sebanyak RM21.93 bilion selepas terdapat penambahan RM5.3 bilion bagi skop pengembalian semula.
“Kos asal projek LRT3 yang diluluskan pada 2015 adalah sebanyak RM31.65 bilion. Namun begitu, selaras dengan langkah penjimatan oleh kerajaan, pada 2018 kos tersebut sudah dikurangkan kepada RM16.63 bilion melalui pengurangan skop projek.
“Jika dibandingkan dengan kos asal projek LRT3, jumlah kos terkini masih rendah dengan penjimatan sebanyak RM9.72 bilion. Sumber pembiayaan bagi skop reinstatement sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan (MOF),” jelasnya. – UTUSAN