[Parlimen] KPKM dalam proses pinda Akta Perikanan 1985 (Akta 317)

[Parlimen] KPKM dalam proses pinda Akta Perikanan 1985 (Akta 317)

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Jabatan Perikanan (DOF) sedang berusaha untuk meminda Akta Perikanan 1985 (Akta 317) bagi mengawal penangkapan ikan air laut di perairan negara secara berlebihan (overfishing).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pindaan itu dibuat untuk meningkatkan kadar hukuman agar lebih `deterrent’ bagi vesel penangkapan ikan tempatan yang menjalankan aktiviti pencerobohan.

Jelasnya, KPKM melalui DOF dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) sentiasa melaksanakan pemantauan, pengawalan dan pengawasan bagi memastikan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara dapat dikawal supaya tidak dieksploitasi.

“Selain itu, bagi memastikan peralatan tangkapan yang digunakan tidak menjejaskan ekosistem perikanan, DOF telah menyenaraikan bubu naga sebagai peralatan larangan dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 serta Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Terancam) 1999 berkuat kuasa 1 Mei tahun lalu.

“Seterusnya, pelan transformasi pukat tunda di Zon B juga telah dilaksanakan bagi mengelak sumber perikanan daripada dieksploitasi secara berlebihan yang mana tukun tiruan dilabuhkan di kawasan yang tidak dibenarkan menunda iaitu di bawah lima batu nautika bagi menghalang pencerobohan pukat tunda,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Sabu, DOF turut menawarkan pinjaman mudah di bawah Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan bagi membolehkan vesel diubah suai atau dinaik taraf supaya dapat beroperasi di Zon C.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan pencerobohan nelayan asing mengakibatkan Malaysia menanggung kerugian sehingga RM823.88 juta selepas hasil laut negara dicuri oleh golongan terbabit sepanjang tahun 2020 hingga 2023.

Lebih malang, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh dan Laporan Sea Around Us, hanya 50 peratus hasil laut negara mendarat di Malaysia manakala selebihnya dicuri oleh nelayan asing ke negara masing-masing.

Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Agensi Penguatkuasaan Mari­tim Malaysia (APMM) dan Polis Marin, sebanyak RM225.22 juta kerugian dicatatkan berlaku pada tahun 2020, RM238.69 juta (2021), RM200.19 juta (2022) dan RM159.77 juta (2023).

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, jumlah itu merangkumi 428 kes pencerobohan kapal nelayan ­asing yang dikesan menjarah hasil laut di perairan negara sepanjang 2020 sehingga 2023.

Beliau berkata, ketirisan dan pencerobohan nelayan asing di perairan negara mengakibatkan kerugian besar apabila ikan-ikan bernilai tinggi seperti ikan merah, jenahak, gamat dijarah oleh kumpulan tersebut di kawasan zon ekonomi eksklusif (EEZ). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya