KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui pesakit perlu berhadapan dengan tempoh temu janji yang lama untuk mendapatkan diagnosis awal kanser.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, perkara tersebut berlaku akibat kekurangan mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan mesin imbasan tomografi berkomputer (CT).
Bagaimanapun, kata beliau, KKM mempunyai rancangan jangka panjang untuk mengatasi masalah tempoh menunggu lama yang sedang dihadapi pesakit.
“Antaranya melaksanakan perolehan perkhidmatan imbasan CT dan MRI secara sewaan (leasing) agar peralatan sentiasa dalam keadaan baik, mengikut perkembangan teknologi semasa serta diselenggara secara optimum mengikut standard ditetapkan.
“KKM juga sedang mengkaji penyampaian perkhidmatan alternatif menerusi kaedah pay per use untuk fasiliti yang bersesuaian. Kaedah ini sedang dikaji dari segi impak dan pulangan pelaburan (return of investment) kepada kerajaan serta keterjaminan keselamatan pesakit.
“Selain itu, melaksanakan sistem bekerja secara syif bagi pakar perubatan radiologi (klinikal) di 10 buah hospital yang mempunyai beban kerja tinggi dan waktu menunggu lama,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewa Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang memintanya menyatakan sejauh mana kekurangan mesin MRI dan mesin imbasan CT di fasiliti kesihatan awam memberi kesan terhadap proses untuk pesakit mendapatkan diagnosis awal kanser pada waktu ini.
Mengulas lanjut, Lukanisman Awang berkata, ketika ini terdapat hampir 120,000 pesakit kanser di seluruh negara yang kesemuanya memerlukan rawatan komprehensif.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua fasiliti kesihatan kerajaan mempunyai rawatan khusus bagi penyakit kanser.
“Bagi membantu golongan-golongan yang tidak mempunyai insurans kesihatan atau tidak layak mendapat rawatan komprehensif di fasiliti kerajaan atau ingin mendapatkan rawatan di swasta. Buat masa ini kerajaan (sudah) menyediakan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).
“Skim ini mempromosikan pencegahan dan juga saringan atau pengurusan intervensi penyakit tidak berjangkit (NCD) serta terdapat saringan yang dilakukan sekiranya pesakit didapati penyakit kanser, kita membantu secara bantuan secara sekali bayar (one-off),” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Institut Kesihatan Negara (NIH) sedang mengkaji cadangan-cadangan dan teknologi yang berkaitan dengan saringan kanser berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Sememangnya terdapat pelbagai teknologi-teknologi AI yang telah diperkenalkan tetapi kita masih belum lagi mempunyai dasar khusus bagaimana untuk penggunaan dan kita sedang mengkaji berkenaan tentang kos efektif penggunaan teknologi tersebut.
“Saya cukup yakin penggunaan teknologi AI akan membantu pegawai-pegawai perubatan untuk membuat saringan lebih pantas,” katanya. – UTUSAN