KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memantau ketegangan yang berlaku di Laut China Selatan bagi memastikan kedaulatan negara dijaga dengan baik.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kementeriannya sentiasa memantau perkembangan isu-isu di Laut China Selatan termasuk ketegangan antara China dan Filipina.
Bagaimanapun, kata beliau, ketegangan yang berlaku di Laut China Selatan itu berada di luar kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia pada tahun 1979.
“Di dalam konteks pengendalian isu Laut China Selatan, saya ingin menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama dalam setiap tindakan yang diambil.
“Sepertimana Dewan yang mulia ini sedia maklum, isu berkaitan Laut China Selatan kompleks dan sensitif.
“Oleh yang demikian, isu ini perlu dikendalikan secara berhati-hati, teliti dan menyeluruh. Setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif tanpa mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Andi Muhammad Suryandy Bandy (BN-Kalabakan) yang memintanya menyatakan tindakan kementerian di peringkat antarabangsa dalam menangani isu kedaulatan wilayah maritim Malaysia di perairan Laut China Selatan, memandangkan suhu konflik kini yang kian memuncak terutama melibatkan negara-negara jiran seperti Filipina.
Mohamad berkata, negara-negara ASEAN dan China sedang berunding melalui Code of Conduct in the South China Sea (COC).
Katanya, COC merupakan satu kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Luat China Selatan.
“Ia adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Malaysia sedang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh tiga tahun dari Ogos 2024 hingga Julai 2027.
“Sebagai Negara Penyelaras, antara peranan Malaysia adalah sebagai Pengerusi Bersama dengan China dalam merunding draf COC.
“Dalam hubungan ini, Malaysia beriltizam untuk memastikan supaya kod tatalaku ini, jika dipersetujui, akan menjadi satu dokumen yang efektif dan substantif bagi menangani isu-isu yang berkaitan Laut China Selatan.
“Malaysia akan sentiasa memastikan bahawa COC yang dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.
Tambahnya, sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia komited menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai. -UTUSAN