KUALA LUMPUR: Kerajaan giat melaksanakan usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor pertanian dan meningkatkan tenaga kerja tempatan terutama golongan belia.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan komited dalam meneroka teknologi terkini pertanian dan reformasi guna tenaga sebagai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor tersebut.
Menurutnya, antara langkah diambil adalah penggunaan teknologi moden seperti sistem sistem pertanian pintar, dron dan automasi dalam kerja-kerja ladang bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan keperluan tenaga kerja fizikal.
“Ini termasuk penggunaan sensor untuk memantau pelbagai parameter tanah, pengairan automatik dan pemantauan hasil pertanian menggunakan data raya.
“Pada tahun 2024, sebanyak RM 20 juta telah diperuntukan dibawah Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan bagi meningkatkan penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang memintanya menyatakan usaha-usaha yang dilakukan bagi mengelakkan kebergantungan industri pertanian terhadap warga asing yang boleh mengakibatkan berlaku pelbagai masalah terutama berkaitan sekuriti makanan negara.
Mengulas lanjut, Arthur Joseph berkata, kerajaan turut melaksanakan pembangunan modal insan mahir di dalam bidang pertanian melalui Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pertanian.
Jelasnya, kursus dan program pendidikan pertanian serta latihan amali itu ditawarkan bagi peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Institut Pertanian (SIP) yang dilaksanakan di Institut Pertanian Malaysia.
“Program ini berupaya melahirkan pekerja mahir yang terlatih dan berkelayakan untuk mempertingkatkan daya saing industri tempatan di pasaran dunia serta berpengetahuan dalam teknik pertanian moden.
“Sebanyak 15 Pusat Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan bertauliah telah diwujudkan di seluruh negara dengan menawarkan sejumlah 10 bidang pengkhususan kepada pelajar dan turut menyediakan elaun bulanan, penginapan serta makan minum secara percuma,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut menyediakan pelbagai dana, geran dan insentif sebagai galakan untuk membantu petani-petani tempatan meningkatkan pengeluaran seperti penyediaan infrastruktur, bantuan berbentuk in-kind dan sebagainya.
“Ini bagi menarik minat lebih ramai golongan muda terlibat dalam sektor pertanian, kementerian sudah menaikkan had bantuan Geran Agropreneur Muda daripada RM20,000 kepada RM30,000,” jelasnya. – UTUSAN