KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti perundangan sebelum mengambil tindakan terhadap agensi berita antarabangsa, Bloomberg selepas mereka mendakwa wujud campur tangan Perdana Menteri dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyerah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan ke atas portal berita yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Kata Perdana Menteri, beliau juga menyerahkan soal tersebut kepada Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh bagi mengambil tindakan yang bersesuaian.
“SPRM sendiri sudah membuat kenyataan tegas, menafikan tomahan tersebut kerana apa yang berlaku hanya arahan umum yang saya lakukan termasuk di Parlimen, bahawa saya mahu SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), PDRM (dan) badan-badan penguatkuasa bertindak tegas memerangi rasuah secara tegas tanpa tolak ansur.
“Ini arahan yang diberikan tetapi tidak melibatkan kes-kes khusus kerana SPRM seperti Jabatan Peguam Negara perlu bertindak (secara) bebas dan telus tanpa rasa takut. Apakah akan ada tindakan? Tindakan itu tunggu laporan PDRM dan sekiranya didapati terdapat kesalahan yang nyata, itu keputusan Peguam Negara untuk mendakwa,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang memintanya menyatakan adakah kerajaan bersedia mengambil tindakan perundangan terhadap Bloomberg.
Pada 26 September, sebuah portal tempatan memetik Bloomberg melaporkan dakwaan Anwar mengarahkan SPRM untuk tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador.
Mengulas mengenai hubungannya dengan portal berita tersebut, Anwar berkata, kerajaan menghormati prinsip media bebas.
“Kalau ada fitnah, kita saman atau PDRM mengambil tindakan khusus tentang itu tapi bukan makananya kita harus mengharamkan atau membatalkan semua acara dengan Bloomberg. Jadi bagi saya prinsip itu harus terpakai kepada semua,” jelasnya.
Menjawab soalan tambahan Howard Lee Chuan How (PH- Ipoh Timor), Anwar berkata, walaupun beliau menyokong prinsip kebebasan tetapi tetap memerlukan pemantauan supaya ia tidak digunakan untuk mempertahankan kezaliman, rasuah dan penyelewengan.
“Total freedom for the wolf, means death for the lamb. Kalau (beri) kebebasan penuh kepada serigala maknanya hancur kambing-kambing ini dibelasahnya, oleh demikian kebebasan itu harus melihat apakah ia digunakan (dengan baik),” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan, kelulusan kontrak yang dikaitkan dengan Farhash adalah dibuat semasa kerajaan terdahulu.
“Saya tidak mahu panjangkan kerana ini melibatkan isu-isu yang bagi saya remeh, melibatkan individu. Kerana kebetulan dia pernah (semasa) empat ke lima tahun lalu menjadi kakitangan saya maka ia dibangkitkan.
“Saya nak beritahu, kelulusan kepada syarikat itu adalah semasa kerajaan terdahulu. Semasa itu Farhash belum menjadi anggota syarikat tersebut. Kemudian, syarikat yang berkenaan sekarang dimiliki oleh Tuanku, sebahagian besar sahamnya,” katanya. – UTUSAN