KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mengekalkan sentuhan manusia dalam penghasilan grafik seni melibatkan urusan rasmi dalam perkembangan pesat penggunaan kecerdasan buatan (AI) selain daripada langkah penjimatan kos.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira faktor perundangan sedia ada, moral serta impak kepada tenaga kerja.
“Sesiapa pun boleh membuat imej dengan menggunakan AI. AI juga boleh menjadi penyampai radio dan pembaca berita. Apakah kesan pada pereka grafik, penyampai radio dan pembaca berita dengan adanya AI ini?
“Ini kita harus perhalusi dan ini harus dibuat dengan segera memandangkan perkembangan AI ini terlalu pantas.
“Kerajaan janganlah ghairah sangat menggunakan imej dijanakan oleh AI ini dalam grafik rasmi. Kerajaan wajar terus memberi peluang kepada artis dan pereka grafik kerana mereka masih ada nilai untuk kita angkat sentuhan manusia dalam mereka grafik,” katanya membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Syahredzan berkata, kerajaan harus mengikuti perkembangan pesat AI dan bertindak dengan sewajarnya.
Jelasnya, sokongan kerajaan sangat diperlukan dalam bidang pembangunan permainan digital tempatan khususnya untuk memasarkan produk ke luar negara dengan memetik jenama yang dibangunkan anak tempatan iaitu Gigabash dan No Straight Roads untuk Sony Playstation.
“Kerajaan harus juga memberi sokongan untuk memasarkan game yang siap dibina. Menyiapkan permainan video bukan matlamat akhir yang dicari tetapi permainan video yang disiapkan juga mesti dipasarkan dan mendapat sambutan.
“Di sini, kerajaan boleh memainkan peranan untuk menjadikan permainan video yang dibangunkan dalam negara sebagai platform mempamerkan kebolehan pencipta (developer) tempatan,” katanya. – UTUSAN