KUALA LUMPUR: Sebanyak 76 peratus daripada 258,112 penerbangan yang dioperasikan oleh syarikat-syarikat penerbangan Malaysia, menepati waktu yang dijadualkan, setakat Ogos tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi penerbangan yang menghadapi kelewatan, 90.2 peratus (penerbangan) telah ditangguhkan kurang daripada dua jam manakala bakinya telah ditangguhkan melebihi dua jam.
Jelasnya, pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sentiasa memantau ketepatan waktu syarikat-syarikat penerbangan tempatan melalui kadar ‘On-time Performance’ (OTP) di KLIA Terminal 1 dan 2.
“Mengikut data terkini, Malaysia Airlines telah menunjukkan penambahbaikan dengan kadar OTP sebanyak 78.1 peratus pada September berbanding 58.2 peratus pada Ogos untuk laluan domestik susulan beberapa langkah yang diambil oleh pihak syarikat untuk memperbaiki isu-isu teknikal. Kadar OTP Malaysia Airlines bagi laluan antarabangsa juga telah menunjukkan peningkatan kepada 72.0 peratus pada bulan September berbanding 54.7 peratus pada Ogos.
“Manakala AirAsia telah mencatatkan kadar OTP sebanyak 67.9 peratus pada September berbanding 70.8 peratus pada Ogos untuk laluan domestik. Bagi penerbangan antarabangsa, AirAsia mencapai kadar OTP sebanyak 61.7 peratus pada September berbanding 69.5 peratus pada Ogos, manakala AirAsia X mencapai kadar OTP sebanyak 81.8 peratus pada September berbanding 80.6 peratus pada Ogos.
“Batik Air pula telah mencapai kadar OTP 73.8 peratus pada September berbanding 82.9 peratus pada Ogos untuk laluan domestik, manakala kadar OTP untuk laluan antarabangsa adalah 57.7 peratus pada September berbanding 71.7 peratus pada Ogos,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, bagi menangani isu kelewatan dan pembatalan, MOT dan MAVCOM pada April lalu telah menetapkan 85 peratus sasaran OTP dan 80 peratus penerbangan yang mematuhi jadual bagi semua syarikat penerbangan Malaysia yang beroperasi dari semua lapangan terbang di Malaysia.
“Sekiranya syarikat penerbangan gagal mencapai sasaran, ia boleh memberi kesan kepada permohonan syarikat penerbangan untuk pembaharuan atau menambah hak trafik udara daripada pihak MAVCOM,” katanya. – UTUSAN