PARLIMEN: Jangan panggil kuorum waktu Maghrib - Johari Abdul

PARLIMEN: Jangan panggil kuorum waktu Maghrib – Johari Abdul

johari
JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menasihati mana-mana Ahli Parlimen agar tidak memanggil kuorum ketika waktu Maghrib susulan terdapat Ahli Parlimen sedang menunaikan solat.

Johari berkata, tindakan memanggil kuorum akan menyebabkan Ahli Parlimen yang mungkin sedang bersolat terganggu kerana waktu Maghrib yang sangat singkat.

“Saya difahamkan pada 21 Oktober lalu, Isnin, jam 7.30 malam, Pengkalan Chepa memohon untuk memanggil kuorum. Saya tahu ini adalah hak Yang Berhormat tetapi saya mohonlah, oleh kerana waktu itu Maghrib, sangat sempit, jadi kalau boleh, janganlah panggil kuorum waktu Maghrib sebab kawan-kawan tengah sembahyang.

“Bila bunyi loceng, dia rasa terganggu, betulkah dia tinggalkan sembahyang atau dia masuk (Dewan).

“Jadi saya mohon, saya tidak perlukan jawapan. Saya mohon sangat-sangat janganlah panggil kuorum waktu Maghrib,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Isnin lalu, loceng Dewan Rakyat dibunyikan selama dua minit pada pukul 7.30 malam susulan bilangan Ahli Parlimen di dalam Dewan didapati tidak cukup kuorum ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang bangun dan memaklumkan bahawa kuorum tidak cukup untuk meneruskan perbahasan.

Mesyuarat kemudian ditangguhkan selepas didapati hanya 19 Ahli Parlimen berada di dalam Dewan dan berbaki seorang pembahas iaitu Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor).

Susulan permohonan tersebut, Ahmad Marzuk berkata, beliau menghormati nasihat itu, namun katanya, hanya terdapat seorang sahaja Ahli Parlimen yang berada di surau pada waktu itu.

Johari membalas, Ahli Parlimen tidak semestinya bersolat di surau yang dimaksudkan Mohd Marzuk.

“Saya tidak perlukan apa-apa jawapan. Saya cuma minta jangan panggil kuorum waktu Maghrib sebab sembahyang tidak semestinya berlaku di surau.

“Ada sembahyang di bilik dan surau kita banyak,” katanya.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 13(1), cukup kuorum bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat perlu mempunyai 26 orang ahli, tidak termasuk Pengerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN