Jalan Masjid India selamat untuk semua aktiviti

Jalan Masjid India selamat untuk semua aktiviti

SEORANG wanita warga India terjatuh ke dalam lubang benam di sekitar kawasan Masjid India Kuala Lumpur, bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jalan Masjid India di sini disahkan selamat menerusi beberapa kajian yang dilakukan selepas insiden wanita warga India terjatuh ke dalam lubang benam di kawasan tersebut pada 23 Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, Jalan Masjid India disahkan selamat berdasarkan kajian dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

“Jalan Masjid India kini disahkan selamat untuk semua bentuk aktiviti. Ini setelah mengambil kira pandangan kepakaran secara kolektif oleh pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

“(Ini termasuk pandangan daripada) pertubuhan profesional seperti Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS),” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Prabakaran M Parameswaran (PH-Batu) yang memintanya menyatakan status keselamatan terkini dan tindakan yang bakal diambil hasil daripada kajian yang telah dijalankan berkaitan tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India termasuk kawasan- kawasan lain yang berpotensi berlaku mendapan.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata, kerajaan melakukan beberapa tindakan termasuk langkah pendek dan panjang bagi mengelak insiden sama berulang.

“(Antara langkah pendek adalah) Audit Integriti Aset Utiliti yang sudah dilaksanakan oleh syarikat-syarikat utiliti di kawasan Central Business District (CBD), termasuk Jalan Masjid India. (Selain itu), penggunaan teknologi untuk mengesan sebarang pergerakan tanah atau lohong bawah tanah.

“Bagi tindakan jangka panjang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan penyiasatan tanah mendalam melibatkan penggunaan teknik Deep Boring serta ujian makmal bagi memastikan struktur tanah stabil.

“(Selain itu melaksanakan) komunikasi awam di mana DBKL akan terus menggunakan platform media sosial untuk memberi makluman dan keyakinan kepada masyarakat mengenai tahap keselamatan di kawasan Jalan Masjid India,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, kerajaan melalui DBKL sudah menyumbangkan RM30,000 untuk membantu waris mangsa, mendiang G. Vijaya Lakshmi dalam meringankan beban mereka akibat tragedi tersebut.

Katanya, keluarga mangsa turut menerima sumbangan daripada pihak swasta yang bersimpati sebanyak RM10,000.

“Ini merupakan tanggungjawab sosial untuk membantu keluarga mangsa yang trauma atas kehilangan yang tersayang.

“Menyentuh tentang pampasan, kerajaan tidak menghalang sekiranya keluarga mendiang mangsa hendak mengemukakan tuntutan melalui saluran perundangan terhadap agensi yang berkaitan,” katanya.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN