KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) menggesa pegawai pengiring orang kenamaan (VVIP) yang didakwa memukul seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) pada Mei lalu dibawa ke muka pengadilan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mempersoal apakah tindakan lanjut yang akan dikenakan terhadap pengawal pengiring tersebut.
“Sudah berbulan, yang menyerang sampai sekarang tidak dibawa ke mahkamah. Jadi saya sebagai Ahli Parlimen dan sebagai seorang peguam, ini (merupakan) satu pelanggaran prinsip keadilan.
“Pemandu itu rakyat kita, kalau kita di Parlimen ini yang mengangkat sumpah di depan ini untuk memelihara perlembagaan (dan) menjamin keadilan untuk semua rakyat (tetapi) rakyat OKU pekak, kita tidak dapat bela.
“Saya minta menteri (dan) timbalan menteri yang menjaga undang-undang (yang juga merupakan) peguam (untuk) jawab di Parlimen. Bila Peguam Negara, pendakwa raya nak bawa kes ini ke mahkamah,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap seorang pegawai pengiring kepada VVIP, kerana disyaki memukul seorang lelaki OKU bisu dan pekak di sebuah hotel dekat KL Sentral.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dipetik berkata, mangsa berusia 46 tahun yang juga pemandu Grab, mendakwa dipukul ketika berada di lobi hotel berkenaan.
Jun lalu, 12 individu dipanggil memberi keterangan, termasuk mangsa, individu disyaki, pekerja hotel lokasi kejadian dan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, insiden tersebut tidak sepatutnya dibiarkan berlalu begitu sahaja.
“Kita tidak akan benarkan,” tegasnya. – UTUSAN